suria

Gara-gara keluar parti, dua bekas anggota Parlimen Umno terima writ saman

Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa.

TANAH RATA: Dua bekas anggota Parlimen Umno yang meninggalkan parti itu telah diberikan writ saman, kata Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa.

Katanya dua individu tersebut adalah Anggota Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Anggota Parlimen Bagan Serai Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

"Peguam-peguam kita telah menghantar writ saman kepada mereka," katanya kepada pemberita sebelum program bersama belia di sini, Selasa.

Mas Ermieyati mengumumkan keluar Umno pada 1 Julai lalu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 13 Disember.

Sementara itu, Dr Noor Azmi meninggalkan Umno pada 26 Jun sebelum mengumumkan penyertaan ke dalam Bersatu pada 28 November.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai ura-ura menyatakan enam anggota Umno yang sebelum ini meninggalkan parti tersebut mahu kembali, Annuar berkata belum ada keputusan khusus mengenainya.

"Umno parti terbuka dan dalam situasi sekarang, kita faham penderitaan sehingga mereka tersebut (keluar parti)," katanya.

Enam Anggota Parlimen yang kini menjadi Bebas meninggalkan Umno pada 14 Disember lalu adalah Anggota Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid; Anggota Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad dan Anggota Parlimen Tasik Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya.

Anggota Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Anggota Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh dan Anggota Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz.

Mengenai kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands, Annuar mengakui Barisan Nasional kekurangan dana untuk berkempen, namun menarik perhatian bahan kempen bukan perkara utama bagi sesuatu pilihan raya.

"Kita orang miskin, sudah tentu orang kata sumber satu perkara penting kita tak nafikan...tapi ini bukan perkara paling penting, paling penting kita utamakan rakyat, kita bercakap dari hati ke hati," katanya.- BERNAMA.

Artikel Lain