suria

Jika bimbang payudara 'indah' hanya sementara, pakar nasihat jauhi jarum 'doktor' tak bertauliah

Promosi rawatan membesarkan payudara ditawarkan secara terbuka di laman sosial.

PETALING JAYA: Wanita yang menyimpan hasrat untuk membesarkan payudara (breast filler) dinasihatkan supaya tidak menjalani rawatan tersebut menggunakan khidmat pakar kecantikan.

Pakar Runding Pembedahan Kosmetik, Rekonstruktif dan Plastik, Pusat Perubatan Beverly Wilshire, Kuala Lumpur, Dr Mohamad Nasir Zahari berkata, pakar kecantikan adalah golongan yang dilarang menawarkan apa-apa perkhidmatan suntikan ke atas tubuh mana-mana individu.

"Kebanyakan pakar kecantikan menawarkan rawatan ini tetapi mereka sebenarnya tidak bertauliah untuk memberi suntikan.

"Mereka cuma boleh melakukan rawatan pada bahagian luaran kulit sahaja. Pakar kecantikan memang tak boleh buat... diharamkan," katanya kepada mStar Online.

Menurut Dr Mohamad Nasir, rawatan tersebut hanya boleh dikendalikan doktor yang mempunyai lesen pertauliahan iaitu Letter of Credentialing and Privileging (LCP) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Dalam kalangan doktor pun bukan semua dibenarkan. Sekarang ini doktor estetik dan pakar bedah kosmetik harus ada lesen pertauliah yang dipanggil LCP.

"Oleh itu, sekarang ini KKM dah keluarkan garis panduan untuk pusat kecantikan di mana mereka yang bukan doktor perubatan tidak boleh melakukan suntikan atau apa-apa yang menembusi kulit sebagai contoh filler, botox dan laser," katanya.

Beliau berkata kebanyakan pakar kecantikan menggunakan filler yang tidak dibenarkan kerana menggunakan minyak silikon yang boleh merosakkan struktur payudara.

Dr Mohamad Nasir Zahari.

"Hasil suntikan filler ini boleh dilihat dalam masa sehari... suntik terus besar tetapi ia berbahaya kepada payudara.

"Apabila terkena jangkitan payudara akan rosak kerana alat-alat yang digunakan tidak dijamin kebersihannya dan proses rawatan dijalankan di lokasi tidak sesuai seperti hotel," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: "I dah tak boleh menyusu, otot 'breast' pun rosak" - Awas promosi murah besarkan payudara di laman sosial

Jelas Dr Mohamad Nasir, terdapat dua jenis filler iaitu menggunakan lemak sendiri atau sintetik.

Namun beliau tidak menggalakkan penggunakan filler jenis sintetik yang sering digunakan untuk rawatan membesarkan payudara.

"Payudara adalah organ yang berfungsi untuk penyusuan bayi, jadi filler itu masuk ke bahagian yang tak sepatutnya, katakanlah kilang yang mengeluarkan susu, jadi filler itu akan menjejaskan pengeluaran susu.

"Penggunaan lemak boleh dilakukan tapi kaedah ini pun kena hati-hati kerana lemak pun bermasalah juga. Jadi pada saya kalau nak buat boleh tapi melalui doktor bertauliah iaitu pakar bedah plastik," katanya.

Pada masa sama, Dr Mohamad Nasir berkata ramai terpengaruh melakukan rawatan filler dengan pakar kecantikan kerana harga yang ditawarkan jauh lebih murah selain perkhidmatan mereka mudah didapati.

Rawatan filler oleh pakar kecantikan begitu mudah, suntik dan terus nampak hasilnya. 

"Kos rawatan pun murah. Kalau di sini (Pusat Perubatan Beverly Wilshire) untuk filler dicaj beribu-ribu ringgit tapi di sana (pusat kecantikan) cuma RM100 atau RM200 sahaja.

"Contohlah RM2,000 di sini tapi kat sana boleh dapat RM200. Proses rawatan mudah, mereka terus pergi dan buat. Di sini macam-macam prosedur... dua tiga jam baru siap," katanya yang tidak menolak ada juga yang terpengaruh kerana terikut kawan-kawan.

Tambahnya lagi, terdapat juga kes doktor tidak bertauliah terutama dari luar negara seperti Taiwan dan China yang melakukan rawatan filler di negara ini secara senyap-senyap.

"Mereka ini memang tak ada lesen. Jadi pusat kecantikan ini akan aturkan supaya doktor-doktor ini datang buat secara senyap di hotel-hotel dan lepas itu terus pulang ke negara mereka.

"Jadi jangan sekali-kali pergi melakukan rawatan ini di hotel-hotel atau mana-mana pusat kecantikan, memang tak boleh," katanya.

Dr Mohamad Nasir berkata, terdapat pesakit yang datang mendapatkan nasihatnya selepas melakukan rawatan filler dengan pakar kecantikan.

"Kesan kita akan tengok dalam jangka masa panjang. Ada yang rasa sakit, tumbuh ketulan yang mengeluarkan nanah. Jadi ada kes kita terpaksa buang keseluruhan payudara pesakit kerana memang dah teruk," katanya.

Surat doktor mengenai keadaan payudara Rara tular di Facebook baru-baru ini.

Terdahulu mStar Online melaporkan seorang gadis berdepan mimpi ngeri apabila payu daranya rosak selepas membuat rawatan membesarkan payudara dengan seorang pakar kecantikan.

Mangsa yang dikenali sebagai Rara mendakwa pakar kecantikan yang ditemuinya enggan bertanggungjawab terhadap kerosakan yang menimpa payudaranya itu.

Tinjauan mStar Online mendapati semakin ramai 'doktor' atau pakar kecantikan tidak bertauliah kini menawarkan perkhidmatan membesarkan payudara secara terbuka menerusi Instagram.

Rata-rata harga yang ditawarkan juga agak murah berbanding kos ditetapkan di klinik perubatan estetik yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mereka juga sering menawarkan harga promosi tidak masuk akal untuk memancing pelanggan yang mengimpikan payudara besar.

payudara, pakar kecantikan, filler

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain