suria

Nahas Jambatan Pulau Pinang: Pengguna Facebook kritik operasi SAR mohon maaf

Gambar Chuah memohon maaf tular di media sosial.

GEORGE TOWN: Seorang pengguna Facebook memohon maaf kepada anggota bomba kerana mengkritik operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi menjejaki sebuah kereta yang terjunam ke laut dari Jambatan Pulau Pinang.

Gambar seorang lelaki yang dikenali sebagai Chuah Chun Howe tular di media sosial menunjukkannya sedang berjabat tangan dengan beberapa anggota bomba di Balai Bomba Jalan Perak pada Selasa.

Sebuah portal berita turut berkongsi kenyataan bertulis daripada Chua yang meluahkan rasa kesal berhubung tindakannnya.

"Saya amat kesal dengan percakapan melulu semalam mengenai ahli bomba Malaysia. Saya telah mengambil tanggungjawab untuk memohon maaf kepada pihak bomba Jalan Perak Penang dan telah mendapat ampunan daripada Tuan Ismail.

"Saya berjanji tidak akan bercakap yang tidak baik lagi mengenai anggota beruniform Malaysia. Tuan Ismail sendiri menjelaskan banyak perkara mengenai kes ini dan juga kes kes lain, serta apa yang perlu dilalui oleh anggota bomba," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak Ismail Mohd Zain berkata lelaki tersebut datang ke balai bomba tersebut kira-kira pukul 9.30 malam untuk memohon maaf.

ARTIKEL BERKAITAN: Operasi bawa keluar SUV yang terhumban ke laut terpaksa ditangguhkan kerana cuaca buruk

"Kami beritahu dia kami tidak terasa hati memandangkan dia juga tidak terfikir mengenai impak perbuatannya itu.

"Saya beritahu dia bahawa dia perlu memohon maaf secara atas talian di mana komen itu dibuat, tetapi dia kata akaunnya telah digantung.

"Kami menjelaskan kepadanya bahawa sesiapa sahaja mahu menyelesaikan operasi tersebut dengan segera tetapi tahap keselamatan menjadi keutamaan," katanya.

Ismail berkata beliau tidak pasti mengapa permohonan maaf itu dibuat di balai bomba Jalan Perak kerana terdapat beberapa agensi lain yang turut terlibat dalam operasi tersebut.

Pada Isnin, kenyataan Chuah di Facebook yang memperlekehkan operasi SAR jabatan tersebut menimbulkan kecaman di kalangan netizen.

Kenderaan itu berjaya ditemui dan mayat turut dikesan berada di dalamnya pada Isnin.

Namun usaha untuk menarik kenderaan tersebut ditangguhkan kerana cuaca buruk.

bomba, SAR

Artikel Lain