PETALING JAYA: Seorang rakan kepada Moey Yun Peng, pemandu kenderaan SUV yang terhumban ke laut selepas terlibat dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang menghadiahkan puisi khas untuk mendiang. Pengguna Facebook Ah Yeoh memuatnaik puisi yang ditulis dalam bahasa Mandarin di laman media sosial itu sebagai penghormatan kepada Moey. Difahamkan Yeoh dan Moey merupakan rakan sekelas semasa menuntut di Sekolah Tinggi Han Chiang. "Bersemadilah dengan tenang rakan sekelasku Moey," demikian tulisnya di awal puisi tersebut. "Hanya 19 tahun, satu malam, seorang individu yang bersemangat hilang... seorang individu yang begitu baik, ceria dan suka membantu," tulisnya. Yeoh turut berterima kasih kepada Moey di atas kegembiraan yang dibawa kepada orang di sekelilingnya. ARTIKEL BERKAITAN: SUV terhumban ke laut berjaya dinaikkan, mayat turut kelihatan "Suka berjenaka dan berpenampilan lurus anda akan kekal dalam ingatan saya. Semoga anda bergembira di akhirat," katanya. Kenderaan SUV itu berjaya dinaikkan petang Selasa. - fotoBERNAMA Yeoh turut memuatnaik sekeping gambar bersama Moey dengan kenyataan yang turut menggesa agar keadilan diberikan terhadap mendiang. Puisi itu berakhir dengan tiga hastag termasuk "Hargai orang disekeliling anda", "Pandu selamat pada waktu malam" dan "Elak keluar pada waktu malam". Puisi itu yang dimuatnaik di laman Facebooknya pada Isnin menerima 32,000 tanda suka dan dikongsi sebanyak 7,000 kali. Pada Ahad, kenderaan SUV dipandu Moey di Jambatan Pulau Pinang hilang kawalan selepas dirempuh sebuah kereta sebelum terjunam ke dalam laut kira-kira pukul 2.54 pagi Ahad. Namun kenderaan itu berjaya dinaikkan petang Selasa dengan mayat Moey masih berada di dalamnya. Difahamkan pemandu sebuah lagi kenderaan yang terlibat dalam insiden itu dipercayai positif ganja.