suria

Rindu isteri, alasan nelayan tunda ikan luar zon

Gambar hiasan.

'KALAU pergi jauh tangkap ikan, tidak ada talian telefon nanti saya rindu isteri', itu antara alasan diberikan nelayan bot pukat tunda yang ditahan ketika leka menangkap ikan kira-kira 8.8 dan 8.9 batu nautika dari barat Tanjung Belua, dekat Langkawi petang Rabu.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Martitim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Rozali Mohd Said berkata terdahulu anggotanya mengesan dua buah bot nelayan tempatan kelas C bersama dua tekong dan lapan awak-awak sedang menangkap ikan di kawasan tersebut antara pukul 7.25 hingga 7.50 malam.

Katanya hasil pemeriksaan mendapati bot-bot yang dikendalikan tekong dan awak-awak warga Thailand berusia antara 21 hingga 61 tahun itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat lesen, menangkap ikan kurang 15 batu nautika serta tidak memiliki alat pengesan vessel.

"Kedua-dua bot tersebut bersama kira-kira 1.3 tan hasil tangkapan ikan ditahan dan dibawa ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan dan tindakan lanjut. Hasil siasatan akan dimajukan kepada Jabatan Perikanan Malaysia sama ada untuk kompauan dan sebagainya manakala hasil tangkapan akan dilelong mengikut sebut harga yang akan dikeluarkan," katanya pada sidang media di sini Khamis.

Rozali berkata kegiatan dilakukan bot pukat tunda yang menangkap ikan di luar zon adalah satu kesalahan serius kerana menjejaskan hasil tangkapan nelayan pantai.

"Sepanjang bulan Januari ini, Maritim Malaysia telah membuat sembilan tangkapan pencerobohan oleh bot pukat tunda di kawasan pantai. Nelayan pantai merungut kerana hasil tangkapan mereka terjejas disebabkan kerakusan bot-bot tunda yang turut menangkap anak ikan, udang dan ketam sekaligus mengganggu ekosistem laut," katanya.

Beliau turut meminta agar komuniti maritim dapat bekerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang bagi memastikan pencerobohan kawasan zon menangkap ikan bot pukat tunda dapat dibanteras.

"Maritim Malaysia memandang serius kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 terutama kesalahan melibatkan aktiviti menangkap ikan di luar zon yang ditetapkan Jabatan Perikanan Malaysia.

"Laporkan sebarang aduan jenayah dan kecemasan di laut di talian MERS 999 dan Pusat Operasi Maritim Kedah dan Perlis (Langkawi) di talian 04-966 2750," katanya. - BERNAMA

nelayan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain