suria

Tengku Hassanal warisi sifat prihatin ayahanda, nenda

IBARAT ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi, begitulah gambaran sifat keprihatinan dan mesra yang diwarisi Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah daripada ayahanda dan nendanya, Sultan Ahmad Shah Almarhum Sultan Abu Bakar.

Diputerakan pada 17 September 1995, baginda sejak dari kecil telah menunjukkan ciri-ciri seorang pewaris takhta yang prihatin apabila sering mendermakan barangan kepada murid lain serta bermurah hati membantu termasuk memberi makanan kepada rakan-rakan yang kurang berkemampuan semasa zaman persekolahannya di Sekolah Rendah St Thomas, Kuantan, Pahang.

Keperibadian murni itu diakui guru kelasnya, Kabtiah Zakariah, 65, yang menyaksikan putera raja itu tidak kekok bergaul dengan rakan-rakan sebaya yang lain, semasa berada di Tahun Satu hingga Tahun Empat pada 2002 hingga 2005.

"Sewaktu di sekolah, saya mengajarnya subjek Matematik dan Bahasa Melayu di sekolah, malah saya turut mengajar baginda tuisyen Bahasa Inggeris di rumah saya dengan empat lagi adindanya setiap minggu sehinggalah masing-masing bersekolah di luar negara,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Menceritakan detik awal persekolahan putera sulung Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar, Kabtiah berkata Tengku Hassanal pada mulanya lebih suka bersendirian, pendiam dan kurang fokus ketika dalam kelas.

"Mungkin sebab baginda seorang anak yang manja…tapi lama-kelamaan Tengku Hassanal sendiri menunjukkan minat untuk belajar dan bergaul dengan rakan-rakan,” katanya.

Tengku Hassanal bersama ayahanda baginda. FOTO: Instagram Tengku Hassanal.

Usaha baginda yang bersungguh-sungguh, kata Kabtiah membolehkan Tengku Hassanal mencatat peningkatan prestasi yang memberangsangkan sehingga baginda berjaya menerima anugerah pencapaian cemerlang akhir tahun.

“Lebih manis lagi, Tunku Azizah sendiri menyampaikan anugerah tersebut kepada Tengku Hassanal selepas berkenan berangkat hadir pada majlis anugerah kecemerlangan sekolah," katanya.

Mengimbas kembali, Kabtiah berkata walaupun bangga dapat mendidik seorang anak raja, namun di hatinya bimbang jika tidak dapat melakukan tugas sebaik mungkin kerana mengajar murid-murid di Tahun Satu untuk mengenal huruf dan nombor bukanlah satu tugas mudah.

"Keprihatinan serta layanan baik diberikan Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah terhadap kami guru di sekolah itu telah banyak melancarkan sesi pengajaran dan pembelajaran anakanda baginda serta semua murid di sekolah itu," katanya.

Seperti ibu bapa lain, Sultan Abdullah dan Tunku Azizah sentiasa memantau dan mengambil berat prestasi pelajaran Tengku Hassanal apatah lagi baginda merupakan putera sulung yang menjadi contoh kepada adindanya yang lain.

"Tunku Azizah terutamanya sering bertanya kepada kami (guru-guru) adakah Tengku Hassanal menunjukkan perkembangan yang baik. Baginda sendiri tegas dalam menegur dan menasihati anakanda baginda agar mengutamakan pelajaran.

"Ketika mula masuk sekolah (Tahun Satu), baginda datang setiap petang bagi menjenguk keadaan Tengku Hassanal. Tengku Ampuan Pahang juga tidak lokek menghulurkan bantuan serta sumbangan kepada sekolah bagi memastikan anak-anak di sekolah ini dapat menimba ilmu dengan baik," kata Kabtiah, yang bersara pada 2008.

Sebagai seorang bekas guru, Kabtiah amat berharap pewaris takhta ini akan terus menunjukkan sifat-sifat terpuji yang ada padanya selama ini dan meneruskan legasi keluarga diraja Pahang yang selama ini cukup dikenali begitu prihatin dan dekat dengan rakyat.

"Setiap guru sudah pasti mendoakan yang terbaik untuk setiap anak muridnya…lebih-lebih lagi kepada Tengku Hassanal yang bakal menjadi raja pemerintah kepada rakyat negeri Pahang suatu hari nanti,” katanya.

Tengku Hassanal pada Selasa dimasyhurkan sebagai Tengku Mahkota Pahang, menggantikan ayahanda baginda yang kini menjadi Sultan Pahang keenam menggantikan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah. - Bernama

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan