PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keputusan akhir mengenai projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) belum dibuat. “Buat masa ini keputusan akhir belum dibuat, sesetengah perkara sudah diputuskan namun kita perlu cari penyelesaian yang lebih baik,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). Ditanya bagi mengesahkan projek itu belum dibatalkan, beliau berkata: “Kita masih berunding.” Dr Mahathir berkata kerajaan berpandangan lebih banyak masa perlu diberikan kepada pihak yang berkenaan untuk mengusahakan penyelesaian berhubung masalah membabitkan projek bernilai RM81 bilion itu. “Saya tidak boleh memberikan penjelasan tentang apa yang akan kami lakukan, namun setakat ini tiada keputusan yang dibuat,” katanya. Ditanya sama ada kerajaan akan meneliti opsyen lain berbanding membatalkan projek itu, perdana menteri berkata: “Mungkin ada opsyen lain, kita terbuka.” Kepada satu lagi soalan, Dr Mahathir berkata kerajaan mengkaji kos projek ECRL secara berterusan. “Nampaknya ada tawaran oleh pihak lain yang kosnya lebih rendah. Saya rasa kerajaan terdahulu membuat anggaran (kos) yang sangat tinggi, kita perlu tangani perkara itu,” katanya. Mengenai sama ada apa yang dilihat oleh sesetengah pihak sebagai percanggahan maklumat berhubung projek itu akan menimbulkan kebimbangan pelabur, Dr Mahathir berkata situasi tersebut berlaku disebabkan kenyataan menteri-menteri berkenaan ditafsir secara berbeza. Perdana menteri berkata Menteri Kewangan Lim Guan Eng akan membuat pengumuman mengenai perkara itu apabila rundingan selesai. -Bernama