suria

12 terselamat, kapal dagang karam terlanggar batu

Kapal dagang MT Sea Frontier yang karam di perairan Kota Tinggi akibat terlanggar batu pada Rabu malam.

SEBELAS anak kapal dagang bersama seorang juruteknik berjaya  diselamatkan apabila kapal dagang yang dinaiki mereka karam di perairan Kota Tinggi kira-kira dua batu  nautika timur Tanjung Penyusop, Kota Tinggi, Rabu malam.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Johor Kapten Maritim Sanifah Yusof berkata kapal dagang  jenis Motor Tanker (MT) Sea Forentier dan berdaftar di St Kitts And Navis itu karam 75 peratus akibat terlanggar batu selepas menjalani ujian jentera, kira-kira pukul 9.15 malam.

Sebelum itu, kapal berkenaan telah mendapat kebenaran berlabuh daripada Jabatan Laut Malaysia di Perairan Pengerang bagi tujuan baik pulih kerosakan pada bahagian enjin namun selepas ujian jentera dibuat di sekitar perairan Pulau Lima berhampiran Tanjung Penyusup, kapal tersebut telah memasuki perairan yang cetek sehingga terkandas dan melanggar batu di perairan berkenaan.

"Kesemua kru kapal tersebut dalam keadaan selamat setelah menerima bantuan awal oleh kapal lain iaitu MT Formula One yang berada berdekatan lokasi sebelum dibawa ke Tanjung Pengelih untuk tindakan lanjut oleh pihak Maritim Johor,” katanya kepada pemberita di Pangkalan Maritim Pengerang, Jeti Penumpang Tanjung Pengelih di sini Khamis.

Katanya kesemua anak kapal (kesemua lelaki) terdiri daripada empat warganegara Myanmar dan tujuh warga Indonesia, manakala juruteknik terbabit merupakan warga tempatan, berusia antara 23 tahun dan 57 tahun.

Sementara itu, Maritim Johor dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia turut mengawal jika ada  tumpahan minyak dari kapal terbabit.

Maritim Johor menasihatkan pengusaha-pengusaha kapal yang melalui perairan Kota Tinggi khususnya sekitar perairan Pengerang agar menitikberatkan aspek keselamatan dan sentiasa peka terhadap ramalan cuaca laut bagi mengelakkan sebarang kemungkinan kecelakaan yang tidak diingini berlaku.-- Bernama

Maritim, karam, Kota Tinggi

Artikel Sebelum

Artikel Lain