suria

Harga petrol turun, diesel kekal

HARGA runcit petrol RON97 dan RON95 turun lima sen, masing-masing pada harga RM2.23 dan RM1.93 seliter, berkuat kuasa tengah malam ini hingga 8 Februari depan.

Sementara itu, harga runcit diesel pula dikekalkan pada harga RM2.18 seliter bagi tempoh yang sama.

Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan berkata, penurunan harga runcit bagi RON95 adalah berikutan penurunan harga produk petroleum yang diproses di pasaran dunia yang didorong faktor peningkatan pengeluaran produk petrol di pasaran global.

"Perbezaan kos produk yang lebih tinggi bagi diesel berbanding petrol adalah disebabkan peningkatan permintaan bagi produk tersebut terutama dari China selain peningkatan pengeluaran produk petrol di pasaran global," demikian menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan akan terus komited melaksanakan dasar penstabilan harga runcit produk petroleum dan pada masa sama melaksanakan penetapan harga yang memanfaatkan rakyat.

"Ini bermakna apabila harga petroleum di pasaran dunia turun, harga runcit produk petroleum juga akan diturunkan bagi membolehkan pengguna menikmati manfaat penurunan harga minyak dengan segera.

"Sekiranya harga pasaran produk melebihi paras harga ditetapkan, kerajaan akan menstabilkan harga jualan runcit bagi produk RON95 dan diesel dengan mengekalkan harga jualan runcit masing-masing pada paras RM2.20 dan RM2.18 seliter," katanya.

Penetapan harga runcit produk petroleum bagi minggu tersebut (2-8 Februari) adalah mengikut kaedah apungan terkawal di bawah formula Mekanisme Harga Automatik (APM).

petrol

Artikel Lain