MESKIPUN perasaan malu pada mulanya menyelubungi seorang remaja, Fakhrul Fahmie Ishak, 18, yang memakai kostum watak komik adiwira ‘Spiderman' ketika membantu di gerai burger milik abangnya, Ahmad Ridhuan Ishak, 22, namun beliau kini semakin teruja apabila strategi itu berjaya meningkatkan jualan harian mereka. Setiap hari, gerai itu yang diusahakan bersama rakan mereka, Muhammad Syukri Hakim Yacoob, 21, di Kampung Raja di sini tidak putus-putus dikunjungi pelanggan terutama yang menggunakan laluan Kampung Raja-Kota Putera sejak di dibuka 31 Dis lepas. Menurut anak bongsu dari lapan beradik itu, beliau membantu abangnya berniaga sementara menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi mengumpul sedikit simpanan untuk menyambung pelajaran pada masa hadapan. “Pada awalnya saya rasa malu memakai kostum Spiderman sebab menjadi tumpuan orang ramai yang lalu-lalang dekat sini, namun perasaan itu bertukar teruja apabila perniagaan yang diusahakan abang saya dan Syukri bertambah baik apabila ramai pelanggan datang ke gerai burger kami. "Mereka mencuba keistimewaan burger di sini di samping berswafoto bersama saya,” katanya ketika ditemui Bernama di gerainya di Kampung Raja di sini. Kadang kala kenderaan yang lalu dan melepasi kami pun berpatah kembali bila melihatnya berdiri di tepi jalan dan melambai-lambai kepada mereka. "Mereka akan berhenti seketika untuk anak mereka berswafoto dan ketika itu saya mengambil peluang untuk mempromosi ‘Square Burger Spiderman kami,” katanya. Ridhuan pula berkata, idea menggunakan kostum itu tercetus secara spontan dan bersama rakan karibnya Syukri terus membelinya secara dalam talian dengan harga hampir RM100 pada awal Disember tahun lepas sebelum memulakan perniagaan akhir bulan itu. “Seperti yang diketahui umum perniagaan burger ini kita dapat jumpa di mana-mana disebabkan itu kami perlu menggunakan strategi perniagaan yang kreatif bagi memastikan burger kami berbeza dengan burger yang biasa dijual di tempat lain. “Memandangkan agak sukar untuk saya dan Syukri memakai kostum itu sambil memasak, kami meminta Fakrul untuk menggayakan kostum itu dan menarik pelanggan ke gerai burger kami dan Fakrul dengan senang hati menyambut cadangan itu,” katanya. Katanya, selain kostum Spiderman, beliau turut menonjolkan kelainan pada burger jualannya dengan menggunakan gabungan roti berwarna-warni dan daging burger berbentuk segi empat. Hasilnya, mereka kini mampu menjual lebih 100 biji burger sehari dengan harga serendah RM2.50 sehingga RM10.50 mengikut pelbagai jenis burger yang diinginkan pelanggan. Ridhuan berkata perniagaan yang dikongsi bersama sahabat karibnya itu mampu meraih pendapatan RM400 sehari berbanding sebelum ini mereka mengambil upah berniaga burger di Pasir Puteh (Kelantan) dengan bayaran RM50 hingga RM70 satu malam. Sementara itu Syukri berkata walaupun gerai yang dibuka agak kecil tetapi mereka berniaga dengan gembira di samping dapat menjalankan perniagaan mengikut masa mereka sendiri dan pulang lebih awal sekiranya stok jualan mereka habis awal. “Kami memulakan perniagaan seawal 5.00 petang selepas waktu Asar dan menutup gerai pukul 1.00 pagi. Sebelum ini ketika bekerja di bawah orang kami akan memulakan kerja seawal pukul 4.00 petang dan hanya balik pukul 4.00 atau 5.00 pagi. “Bila berniaga bersama Ridhuan ini semuanya lebih mudah dan teratur, yang mana setiap hari kami akan turun dari rumah masing-masing di Kampung Padang Pak Ahmad, Pasir Puteh kira-kira pukul 3.00 petang dan mula berniaga pukul 5.00 petang selepas membuat persiapan berniaga,” katanya. - Bernama