PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengumumkan calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Semenyih pada Khamis depan (14 Februari). Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, calon akan diumumkan oleh belum atau pengerusi parti, Tun Dr Mahathir Mohamad pada hari berkenaan. Beliau menambah, profil calon akan diberikan selepas pengumuman dibuat di Semenyih. Ditanya sama ada calon merupakan orang tempatan, beliau berkata, perkara itu diambil kira tetapi faktor-faktor lain turut dipertimbangkan. "Apa yang paling penting kita akan mengumumkan latar belakangnya, jawatannya dalam parti, kelayakan akademik dan faktor-faktor lain yang membuat dia adalah calon yang sesuai menjadi wakil rakyat. "Kita mengambil faktor (sekiranya dia orang tempatan) kerana dalam mesyuarat bersama pemimpin-pemimpin dan penduduk tempatan, itu yang diminta. "Tetapi ia mestilah calon tempatan yang layak dan berkemampuan, serta berwibawa," katanya pada sidang media dekat sini, Sabtu. PRK Semenyih diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu, Adun Bersatu, Allahyarham Bakhtiar Mohd. - The Star