suria

Operasi cari Bari diteruskan guna ROV

OPERASI mencari pemancing, Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, yang hilang selepas menyelamatkan empat penumpang Mitsubishi Storm yang terjunam ke dalam Sungai Terengganu, dekat Pulau Warisan, pada Jumaat diteruskan malam Sabtu dengan menggunakan peralatan Remotely Operated Underwater Vehicle (ROV).

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu, Azlimin Mat Noor berkata operasi pencarian melibatkan jarak dua kilometer malam Sabtu turut menggunakan tujuh buat bot daripada pelbagai agensi keselamatan seperti polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu pemuda dikhuatiri lemas setelah selamat empat sekeluarga harap anak ditemui segera

"Dua kaedah kita gunakan bagi operasi malam Sabtu iaitu menggunakan ROV yang kita turunkan pada kedalaman 7.3 meter di sekitar jeti Polis Marin bagi carian di dasar sungai.

"Bot pula kita gunakan bagi operasi selaman dan pencarian di permukaan dengan anggota dibahagikan kepada empat kumpulan carian," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian Kuala Terengganu malam Sabtu.

Beliau berkata penggunaan ROV diharap dapat mempercepatkan proses carian mangsa yang kini masih gagal ditemui selepas lebih 24 jam kejadian berkenaan berlaku.

"Jika mangsa masih gagal ditemui malam Sabtu operasi akan diteruskan pada Ahad dengan bantuan anjing pengesan K9 dari ibu pejabat di Putrajaya," katanya.

Beliau berkata operasi malam Sabtu diteruskan sehingga pukul 1 pagi dan jika masih belum menemui mangsa, operasi akan disambung semula pada pukul 8 pagi Ahad. - Bernama

Abdul Bari Asyraf

Artikel Lain