PILIHAN Raya Kecil (PRK) Semenyih perlu ditangguhkan sementara menunggu prosiding mahkamah mengenai legitimasi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didengar. Badan itu kini dikendalikan oleh seorang individu sahaja, kata pesara anggota suruhanjaya tersebut. Bekas Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar (gambar) berkata, kes itu memerlukan perhatian segera kerana enam jawatan lain masih kosong ketika keputusan mengenai pencalonan dan tarikh pengundian dibuat. ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu umum calon PRK Semenyih 14 Feb "Legitimasi SPR mestilah disahkan atau ia akan menetapkan teladan yang buruk," katanya. Wan Ahmad menambah bahawa Perkara 114 (1) Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menyatakan bahawa SPR akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja dan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, timbalan pengerusi, dan lima ahli lain. Memandangkan pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun sebelum ini mengatakan bahawa mesyuarat mengenai PRK Semenyih dibuat bersama dengan sekretariat, Wan Ahmad berkata kesahan mesyuarat itu akan dipersoalkan kerana setiausaha tersebut bukan seorang pesuruhjaya. "Setiausaha itu dilantik oleh SPR dan bukan sebahagian daripada suruhanjaya. "Tambahan pula, anda tidak boleh memanggilnya suruhanjaya kerana ia terdiri hanya satu individu," katanya. Wan Ahmad berkata, tindakan seorang pengundi di Semenyih mendapatkan perintah mahkamah untuk menghentikan pilihan raya itu adalah tepat pada masanya. Kekosongan jawatan masih belum dipenuhi berikutan peletakan jawatan beramai-ramai enam anggota suruhanjaya berkenaa yang berkuatkuasa 1 Jan tahun ini. - The Star