suria

Muhyiddin nafi lawatan Ketua Polis Negara ke Turki atas urusan peribadi

Muhyiddin Yassin.

MENTERI Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan laporan sebuah portal berita antarabangsa kononnya lawatan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun ke Turki adalah atas urusan peribadi.

Sebaliknya, kata Muhyiddin, Ketua Polis Negara melakukan lawatan kerja ke negara itu untuk mempelajari kaedah-kaedah membanteras perjudian dalam talian.

Beliau turut mengesahkan lawatan Mohamad Fuzi itu mendapat kelulusan beliau.

“Pada peringkat awalnya saya fikir ia adalah tidak sesuai (untuk ke Turki) tetapi setelah diteliti, saya telah beri kebenaran kepada beliau untuk ke sana.

“Beliau ke sana adalah untuk mempelajari kaedah menangani perjudian atas talian dari negara lain dan bagi saya ia amat penting untuk dipelajari polis di negara ini bagi membanteras kegiatan sedemikian,” katanya pada majlis program lawatannya ke Batalion 4, Pasukan Gerakan Am, di Semenyih.

Ahad lepas, sebuah portal berita antarabangsa melaporkan beberapa pegawai tertinggi PDRM termasuk Ketua Polis Negara pergi ke Turki atas tujuan peribadi.

Terdahulu, Muhyiddin turut membuat lawatan kerja dan merasmikan ibu pejabat Jabatan Penjara Malaysia yang baharu di Kajang. - BERNAMA

Artikel Berikut

Azmin nafi dipecat PKR

Artikel Lain