suria

Inkues Adib: “Dia kena bantailah, apa lagi” - Saksi

Amirrul Adli hadir pada prosiding inkues bagi menentukan punca kematian Adib yang masuk hari ketiga di Mahkamah Koroner Kompleks Mahkamah Shah Alam pada Rabu. Foto K K Sham/The Star

SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Koroner pada Rabu bahawa beberapa orang awam yang berada di lokasi semasa insiden kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, tahun lepas memaklumkan kepadanya bahawa seorang anggota bomba telah dipukul.

Amirrul Adli M Yussli, 26, pelatih pramugara di syarikat penerbangan AirAsia berkata, beliau juga melihat anggota bomba itu, yang memakai pakaian celoreng, duduk dalam keadaan melunjurkan kaki.

Saksi keempat itu berkata beliau bertanyakan mengenai keadaan anggota bomba itu kepada beberapa individu dan seorang daripada mereka menjawab 'dia kena bantailah, apa lagi.'

Amirrul Adli berkata setelah menyedari keretanya yang diletakkan pada bahu jalan dilanggar oleh jentera bomba, beliau dan rakannya bergegas lari melihat ke arah kenderaan.

"Sewaktu memeriksa kereta, dari jarak 40 meter, saya nampak seorang anggota berada dalam keadaan duduk dan kedua-dua kaki berlunjur ke hadapan sambil memeluk tubuh seolah-olah sedang mengalami kesakitan," katanya pada prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota EMRS dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lepas di Institut Jantung Negara.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Faten Hadni Khairuddin pada hari ketiga prosiding inkues itu.

Faten: Apa kamu nampak?

Amirrul: Saya nampak seorang anggota bomba duduk melunjur di bahu kiri jalan. Dia memakai baju-T dan berseluar celoreng.

Faten: Terduduk macam mana?

Amirrul: Kaki melunjur dan memeluk badan.

Faten: Tangan dia macam mana?

Amirrul : Peluk badan dalam keadaan sakit Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Amirrul berkata beliau nampak anggota bomba itu dibaringkan di ruang kosong hadapan keretanya (Amirrul) dan beberapa individu ada mengatakan beliau (anggota bomba) hampir pengsan.

"Saya jenguk sekejap nampak dia seperti nak pengsan," katanya.

Ketika ditanya mengapa beliau berada di lokasi kejadian, saksi itu berkata dia dan rakannya dalam perjalanan ke rumah kawan di Putra Heights kira-kira pukul 12.30 pagi, pada 27 November lalu.

Amirrul berkata rakannya yang memandu kereta memberhentikan kenderaan di sebelah kiri bahu jalan setelah melihat sebuah kereta terbakar.

Katanya beberapa minit selepas kejadian, beliau melihat sebuah Fire Rescue Tender (FRT) dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) tiba untuk memadamkan kebakaran.

Saksi itu berkata beliau juga melihat jentera FRT itu diserang sekumpulan individu dengan membaling botol ke arah cermin jentera bomba itu.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung petang ini. - BERNAMA

Adib, bomba

Artikel Lain