DOKTOR gigi, Dr Siti Syahirah Isa, 28, muncul sebagai juara kategori qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Melaka 2019 malam Sabtu. Sementara itu, Mohd Khairi Maidin, 20 pula menjuarai kategori qari. Kedua-dua mereka dipilih sebagai pemenang dengan pungutan markah keseluruhan tertinggi bagi qariah iaitu 79 peratus dan qari 83 peratus. Mereka membawa pulang wang tunai masing-masing RM8,000, sijil dan hadiah iringan. Penyampaian hadiah kepada pemenang kategori qari dan qariah disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob dan hadiah bagi kategori menghafaz disampaikan oleh Ketua Menteri Adly Zahari pada Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Negeri Melaka di Masjid Al-Azim malam Sabtu. Tempat kedua dan ketiga bagi kategori qari dimenangi oleh Husni Ali Hasan dan Mohd Fairuz Husin setelah masing-masing mengumpul 82 peratus dan 76 peratus. Bagi kategori qariah pula tempat kedua menjadi milik Jamilah Tahir (70 peratus) dan tempat ketiga, Asinah Abd Rahman (65 peratus). Dr Siti Syahirah berkata minat mendalam membaca al-Quran mendorong beliau untuk terus memperbaiki mutu bacaan walaupun berlainan bidang. "Budaya membaca al-Quran yang saya amalkan sejak dari sekolah rendah menyebabkan saya sentiasa mempelajari dan berlatih apabila ada masa lapang terutama ketika cuti hujung minggu," katanya. Sementara itu, juara bagi kategori qari, Mohd Khairi berkata beliau menghabiskan masa 30 minit sehari membuat latihan suara dan lagu setiap kali selesai menunaikan solat maghrib dan isyak. "Saya mula minat bertaranum ketika darjah dua dan dengan dorongan keluarga saya terus memperbaiki mutu bacaan dari semasa ke semasa," kata pelajar tahun dua jurusan al-Quran dan Komunikasi sebuah Institut Pengajian Tinggi di Selangor. - Bernama