suria

Syed Saddiq nafi cetus provokasi sewaktu penamaan calon PRK Semenyih

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - fotoBERNAMA

MENTERI Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada Ahad menafikan beliau sengaja melakukan provokasi dengan melalui kawasan penyokong Barisan Nasional (BN) selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih, Sabtu.

Beliau berkata ia adalah persepsi yang cuba dibina oleh pihak tertentu untuk menyalahkan dirinya sedangkan perkara itu tidak betul.

"Kedatangan saya semalam (Sabtu) adalah sebagai Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), bukan sebagai Menteri Belia dan Sukan. Jadi saya pandu kereta sendiri. Saya tak tahu macam mana (seperti dakwaan) saya boleh tiba-tiba turun dan parkir kereta di situ sedangkan saya parkir jauh di bawah bukit dan kejadian adalah selepas selesai penamaan calon.

"Ada bukti video menunjukkan saya berjalan keluar dan semua orang sudah bersurai ketika itu, malah lalu lintas jalan raya pun seperti biasa dengan kereta lalu-lalang. Jarak saya dengan penyokong BN juga agak jauh. Kalau saya nak cari gaduh, takkanlah saya nak datang seorang dengan dua, tiga orang rakan," katanya di Kuala Nerus, Terengganu pada Ahad.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya beliau sengaja membuat provokasi dengan turun dari kereta di kawasan yang dikhususkan untuk penyokong BN yang datang ke Dewan Seri Cempaka, Majlis Perbandaran Kajang itu.

Terdahulu, beliau hadir ke sesi 'town hall' bersama pelajar, persatuan dan penggerak belia negeri di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Pada Sabtu, tular sebuah klip video memaparkan Syed Saddiq dikerumuni penyokong parti pembangkang sewaktu dalam perjalanan menuju ke keretanya selepas selesai proses penamaan calon bagi PRK Semenyih.

Video berdurasi 22 saat itu menunjukkan Syed Saddiq diiringi oleh anggota polis serta anggota Unit Amal PAS sambil dikejar sekumpulan lelaki.

Syed Saddiq berkata beliau tidak melakukan apa-apa provokasi dan tidak bercakap apa-apa perkataan kecuali 'Assalammualaikum', malah terus berjalan menuju ke kereta.

Beliau juga tidak mahu lagi memanjang-manjangkan kenyataan mengenai kekasaran dan ugutan yang didakwa dilakukan oleh blogger kontroversi Papagomo itu kerana yakin polis akan menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.

"Biarlah apa sahaja yang dia hendak cakap kerana ada bukti video yang jelas menerangkan segala-galanya. Saya harap polis akan panggil sukarelawan dan anggota polis yang ada di tempat kejadian untuk menyiasat perkara yang sebenar," katanya. - BERNAMA

Syed Saddiq

Artikel Lain