POLIS menahan seorang warga emas berusia 68 tahun bagi membantu siasatan dakwaan menghina Nabi Muhammad SAW di laman sosial Facebook miliknya. Ketua Polis Daerah Temerloh, Superitendan Zuhdin Mahmud berkata, lelaki itu ditahan di rumahnya di sebuah taman perumahan di Mentakab, Temerloh, pada 11.30 pagi Selasa. "Suspek akan dihantar ke Johor memandangkan laporan polis dibuat di Batu Pahat," katanya semasa dihubungi di Kuantan, Selasa. Pada Isnin, beberapa laporan polis dibuat terhadap seorang pemilik akaun Facebook menggunakan nama Foo Sing Wai yang didakwa menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda Saidatina Aisyah. Perbuatan itu menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini kerana disifatkan amat keterlaluan dan melampau. Sementara itu Persatuan Kebajikan Ukhwan dan Silaturrahim Pahang (UKHWAH) turut membuat laporan polis bagi meminta pihak berkuasa menyiasat satu lagi akaun Facebook yang menggunakan nama Sarkar Tanesan selain Foo Sing Wai, berkaitan isu ini. “Kita minta pihak Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia mengambil tindakan sewajarnya terhadap pemilik kedua-dua akaun ini kerana ia menggugat keharmonian serta perpaduan kaum di negara ini. “Laporan polis hari ini juga diharap dapat membuka mata pihak kerajaan untuk mengetatkan undang-undang berkaitan penghinaan. Sampai bila kita mahu membuat laporan kepada pihak polis apabila berulang kali timbul isu-isu seperti ini,” katanya yang ditemani hampir 50 anggota persatuan selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan pada Selasa. - Bernama