suria

Adib tercungap-cungap, tidak dapat bercakap ketika disorong ke bilik kecemasan

ANGGOTA bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim tercungap-cungap dan tidak dapat bercakap ketika dibawa masuk ke bilik kecemasan di Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) pada awal 27 November, kata doktor pertama yang merawatnya.

Selepas pemeriksaan, lelaki berusia 24 tahun itu didapati mengalami kecederaan paru-paru, kata doktor kecemasan Dr MK Nantha Kumeran pada hari kelapan inkues kematian Muhammad Adib dijalankan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada kesan lebam, tapak kasut pada rusuk kanan Adib - Saksi

Muhammad Adib cedera parah ketika menjalankan tugas berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield pada 27 Nov 2018.

Doktor tersebut yang merupakan saksi ke-12 yang dipanggil,memberitahu mahkamah koroner bahawa beliau mula-mula melihat Muhammad Adib ketika mangsa disorong masuk ke dalam bilik kecemasan.

"Dia tercungap-cungap kerana mengalami kesukaran bernafas, tidak dapat bercakap dan membuat bunyi yang tidak dapat difahami," katanya.

Ketepuan oksigen anggota bomba itu juga di bawah paras normal pada 48%, kata beliau.

Muhammad Adib.

Doktor itu berkata, beliau mengarahkan imbasan X-ray ke atas Muhammad Adib dijalankan selepas melihat ada lebam besar di bahagian atas dada kanannya.

"Apabila saya menyentuh (dadanya) saya dapat mendengar bunyi retak.

"(Pada masa itu) saya sedang mengandaikan (dia mengalami) pneumothorax," katanya sambil menambah bahawa istilah itu bermaksud ada udara atau darah di antara dinding dada dan paru-paru individu.

Dr Nantha Kumeran berkata beliau dan seorang pakar anestetik juga mula melakukan prosedur intubasi terhadap Muhammad Adib untuk membantunya bernafas.

Beliau berkata imbasan sinar-X dada anggota bomba itu menunjukkan keadaan rusuknya retak.

"Terdapat keretakan dari tulang rusuk kedua hingga kelima, dan dia mengalami kontusi paru-paru (lebam paru-paru)," kata beliau.

Ketika ditanya oleh Timbalan Pendakwaraya Zafran Rahim Hamzah mengenai apa yang difikirkan oleh doktor itu tentang punca yan menyebabkan kecederaan tersebut, Dr Nantha Kumeran berkata ia mungkin disebabkan oleh objek tumpul.

Dr Nantha Kumeran tampil sebagai saksi ke-12 kes kematian Muhammad Adib.

Dr Nantha Kumeran berkata, berdasarkan apa yang diperhatikannya pada pagi 27 November, anggota bomba itu mempunyai 'kesan (lebam) pada dinding dada di bahagian atas dan bahu kanan'.

Ketika ditanya oleh Zafran sama ada beliau bercakap dengan mereka yang membawa Muhammad Adib ke SJMC, Dr Nantha Kumeran berkata beliau bertanya kepada tiga lelaki terbabit mengenai apa yang berlaku.

"Saya keluar satu jam selepas resusitasi untuk bertanya apa yang berlaku.

"Mereka memberitahu saya mereka mendapati dia terbaring di tanah dan membawanya ke sini (SJMC) menggunakan pacuan empat roda," katanya.

Ketika ditanya sama ada mereka menyediakan apa-apa maklumat lain, Zafran menjawab; "Tidak, mereka tidak. (Mereka berkata) mereka tidak pasti sama ada dia jatuh dari trak atau diserang".

Hakim Rofiah Mohamad duduk sebagai koroner untuk inkues itu yang diadakan di Mahkamah Sesyen Shah Alam. - The Star

Muhammad Adib

Artikel Lain