SEORANG pemandu lori tangki minyak maut dalam kebakaran selepas kenderaannya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 372 arah utara, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) selepas Hentian Rehat dan Rawat (R and R) Behrang di Slim River, pagi Sabtu. Kemalangan kira-kira pukul 8 pagi itu melibatkan tiga lori iaitu dua lori treler membawa muatan besi dan sebuah lori tangki berisi minyak diesel. Ketua Polis Daerah Muallim, Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata mangsa yang belum diketahui identiti itu maut terbakar di tempat kejadian setelah melanggar belakang lori membawa muatan besi itu di lorong kecemasan. “Butiran mangsa akan disemak melalui alamat syarikat yang diperoleh dan kami akan mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pihak PLUS bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu. Menurut beliau, siasatan awal di tempat kejadian mendapati sebuah lori dipandu Mohamad Jurid Bakar, 45, berasal dari Pekan Pahang telah memberhentikan kenderaannya di lorong kecemasan kerana brek angin mengalami masalah. “Sebuah lagi lori dipandu Kamarul Azwar Abu Bakar, 34, dari Jitra Kedah turut berhenti di lorong kecemasan untuk memberi bantuan berikutan mereka daripada syarikat yang sama. “Namun selesai membantu, ketika dalam kenderaan, Kamarul Azwar telah melihat sebuah lori tangki dari arah tengah terus bergerak ke arahnya lalu melanggar belakang lorinya serta terlanggar belakang lori yang dibantunya tadi,” katanya. Akibat rempuhan itu, Wan Kamarul Azran berkata lori tangki yang membawa muatan diesel telah terbakar dan merebak ke lori hadapannya. “Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Slim River,” katanya. Jelas beliau lagi, ekoran kejadian itu berlaku kesesakan lalu lintas sepanjang 4 kilometer. Sementara itu, menurut kenyataan jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, pihaknya menerima panggilan kira-kira 8.51 pagi tadi dan tiga jentera dikejarkan ke lokasi itu. Operasi pemadaman melibatkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan dibantu BBP Tapah dan BBP Bidor. - BERNAMA