KERAJAAN memulakan rundingan dengan Gamuda Berhad untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang syarikat tersebut mempunyai pegangan majoriti, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Lebuh raya berkenaan ialah Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (SPRINT), Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dan Tetowong SMART, kata beliau. ARTIKEL BERKAITAN: Tol dihapus secara berperingkat bukan serta merta Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Perdana Menteri pada Sabtu, Dr Mahathir berkata kerajaan berhasrat untuk memansuhkan mekanisme tol sedia ada apabila berjaya mengambil alih lebuh raya berkenaan. “Pakatan Harapan telah berjanji dalam manifesto pilihan raya untuk mengambil alih konsesi lebuh raya dan memansuhkan kutipan tol secara berperingkat, mengikut syarat-syarat perjanjian konsesi,” kata beliau. Perdana Menteri berkata sebagai ganti, ‘congestion charge' atau caj kesesakan akan diperkenalkan di mana pengguna akan hanya dikenakan bayaran caj kesesakan yang sama dengan kadar tol sedia ada untuk waktu puncak selama enam jam sehari. “Semasa tempoh ‘off-peak' (luar waktu puncak) antara 11 malam dan 5 pagi, penggunaan lebuh raya adalah percuma. Bagi penggunaan waktu biasa, pengguna akan menikmati diskaun 30 peratus berbanding kadar tol sedia ada,” katanya. Dr Mahathir berkata kutipan caj kesesakan akan digunakan untuk menampung kos operasi dan penyelenggaraan lebuh raya serta bayaran balik pinjaman manakala lebihan kutipan akan disalurkan kepada dana pengangkutan awam untuk meningkatkan kualiti pengangkutan awam di Malaysia. Beliau berkata maklumat lanjut berkenaan cadangan berkenaan akan diumumkan Kementerian Kewangan pada masa yang sesuai. - Bernama