suria

"Tolak risiko asalkan cantik, seksi" - Dr Nasir dedah obses pesakit pembedahan plastik

Pembedahan kosmetik di Malaysia semakin mendapat tempat di kalangan rakyat tempatan mahupun luar negara.

APABILA kita berbicara perihal pembedahan plastik, dua negara ini iaitu Korea Selatan dan Jepun secara automatik akan terlintas di fikiran.

Pembedahan plastik ibarat keperluan kepada rakyat di kedua-dua negara itu yang terlalu obses untuk kelihatan cantik, kacak dan sempurna.

Namun trend ini sudah mula menular di negara kita. Itu antara fenomena yang berlaku pada hari ini.

Menurut Pakar Runding Pembedahan Kosmetik, Rekonstruktif dan Plastik, Pusat Perubatan Beverly Wilshire, Dr Mohamad Nasir Zahari, kira-kira 66 peratus pesakit yang menjalani pembedahan plastik di negara ini merupakan rakyat tempatan, manakala 34 peratus lagi warga asing.

“Jumlah itu merangkumi pelbagai bangsa, malahan VIP pun ramai, VVIP dan artis pun ada. Saya juga pernah berurusan dengan pesakit paling muda berusia 16 tahun nak buat payudara tapi dia kena minta kebenaran ibu bapa.

“Lelaki pun ramai tapi tidaklah seramai di luar negara. Kebanyakan mereka buat hidung dan kadang-kadang facelift. Tapi ada juga yang buang lemak apabila mereka sudah berusia.

“Masa sudah berubah, orang sanggup keluarkan duit untuk kelihatan cantik. Namun kita lebih tertutup. Maknanya pesakit nak sorok-sorok datang ke sini kerana masyarakat masih taboo mengenai rawatan pembedahan kosmetik dan estetik untuk kecantikan,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama mStar Online di pusat perubatan yang beroperasi di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dr Mohamad Nasir Zahari.

Jelas beliau lagi, pembedahan kosmetik paling popular di kalangan pesakitnya adalah membabitkan hidung, mata dan muka.

“Hidung, mata dan muka bentuk V-Shape, tiga perkara ini yang paling banyak dilakukan pesakit di sini. Kebanyakan menjadikan hidung Caucassian sebagai rujukan sekiranya mahu mancungkan hidung.

“Apabila bagi gambar-gambar untuk kajian, mereka pilih hidung tersebut (Caucassian). Tetapi untuk orang Asia kita akan beritahu tak boleh ikut mancung macam tu kerana tak sesuai,” katanya.

Pada masa sama, beliau tidak menolak media sosial banyak mempengaruhi orang ramai untuk kelihatan cantik.

“Betul. Ia memang mempengaruhi. Mereka mahu kelihatan sempurna di mata umum. Contohnya nak ikut gaya rambut, kulit dan hidung orang-orang yang cantik di media sosial. Ia memang memberi kesan.

“Mereka gunakan itu sebagai 'bible' atau kitab untuk menentukan hala tuju hidup mereka. Sebagai contoh pesakit anoreksia, dalam fikiran mereka tak boleh terima bentuk badan sedia ada dan fikir mereka berada dalam badan yang salah,” katanya.

Kalau dulu kita dah buang itu, buang ini, akhirnya jadi cengkung macam tengkorak. Sebab itu kalau anda tengok muka Michael Jackson dah jadi teruk sangat, kulit dan tulang melekat dan hidung dia jatuh.

DR. MOHAMAD NASIR ZAHARI

Pakar Runding Pembedahan Kosmetik, Rekonstruktif dan Plastik

Dr Nasir turut mendedahkan, beliau pernah mendapat permintaan pelik daripada pesakit yang mempunyai keinginan melampau.

“Ia melibatkan seorang pesakit yang mahukan payudara yang terlalu besar. Orangnya kurus kering tetapi dia tetap tidak berpuas hati dengan saiz payudara sedia ada.

“Mula-mula dia buat implan 300 cc, itu kira dah besar untuk saiz badan dia. Lepas tu dia masih tak puas hati juga jadi tambah lagi 500 cc.

“Beberapa bulan kemudian dia tulis (e-mel) dekat saya nak tukar 800 cc pula. Dia kata sanggup tandatangan borang tanggung risiko,” katanya.

Bagaimanapun Dr Nasir berkata beliau terpaksa menolak permintaan tersebut kerana disifatkan terlalu mengarut.

“Ini permintaan paling tak masuk akal. Jangkaan yang terlampau. Saya tunjuk (gambar) pesakit itu dekat jururawat saya, dia pun takut nak tengok.

“Ini kita panggil sindrom kelainan dismorfik tubuh (BDD). Dalam fikiran dia ingat perkara itu boleh buat dia kelihatan cantik dan seksi,” katanya.


Wajah Michael Jakson sebelum dan selepas pembedahan plastik dijalankan.

Jelas Dr Nasir, kira-kira 95 peratus pesakitnya akan menerima hasil selepas pembedahan, manakala lima peratus masih tidak berpuas hati.

“Ini yang susah. Jika berdepan pesakit seperti ini kita akan cuba kawal jangkaan dia. Pertama kita cakap tak boleh nak capai tahap yang dia mahu. Kedua kita beritahu tak bagus capai tahap itu dan juga sebab-sebabnya.

“Biasanya kita tak terima kalau dia nak ubah lagi. Namun dia akan jumpa doktor lain pula. Golongan ini kita panggil 'shopping around', mereka akan pergi dari satu tempat ke satu tempat lain.

“Dunia pembedahan plastik di Malaysia ni kecil jadi ada doktor yang hubungi saya tanya kenapa saya tak nak buat. Saya cakap dah cukup dah saya dah buat semua apa yang boleh,” katanya.

Justeru beliau berkata, pesakit dinasihatkan supaya menunggu selama enam bulan sekiranya mahu melakukan pembedahan plastik susulan.

“Luka baik sepenuhnya dalam tempoh enam bulan sebab kulit kita terpaksa adjust semula kepada asas (foundation). Proses itu agak perlahan.

“Jika kurang dari tempoh itu, parut boleh lagi menarik sana sini atau parut tersebut boleh jadi lembut dengan otot,” katanya.

Dr Nasir pernah menolak permintaan melampau seorang wanita yang inginkan saiz payudara lebih besar.

Mengenai risiko pembedahan plastik, Dr Nasir berkata kes kematian jarang berlaku tetapi hakikatnya pesakit terpaksa menahan kesakitan daripada pembedahan untuk satu tempoh tertentu.

“Bengkak dan pendarahan itu normal dan pesakit juga berdepan risiko jangkitan kuman. Namun ia lebih kepada kesan anestasia termasuk risiko umum seperti pembedahan biasa.

“Mengenai kes kematian, ia lebih kepada komplikasi tapi jarang berlaku. Kebanyakan komplikasi anestasia dan reaksi alahan.

“Jadi apabila pesakit datang ke hospital ini, kita akan periksa sejarah perubatan mereka. Jika mereka ada penyakit maka kita cadangkan dia buat rawatan estetik sahaja sebagai alternatif,” katanya.

Susulan itu, Dr Nasir berkata pembedahan plastik tidak boleh dilakukan secara keterlaluan.

“Sebagai contoh kes perubahan wajah raja pop Michael Jackson yang agak teruk meskipun sudah melakukan pelbagai pembedahan plastik.

“Bila kita buat pembedahan plastik, parut akan berlaku di dalam. Kedua kita semakin tua, struktur tulang dan otot kita jadi kecil.

“Kalau dulu kita dah buang itu, buang ini, akhirnya jadi cengkung macam tengkorak. Sebab itu kalau anda tengok muka Michael Jackson dah jadi teruk sangat, kulit dan tulang melekat dan hidung dia jatuh.

“Jadi kalau nak buat biarlah secukupnya sahaja, lebih baik buat sikit-sikit dulu. Kalau anda cuba nak buang semua, kita dah tak boleh buat apa dah,” katanya.

pembedahan, plastik, payudara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain