suria

Lelaki didakwa rompak, cederakan wanita dalam lif stesen MRT

G.Thinathayaalan.

SEORANG lelaki yang klip videonya tular merompak serta mencederakan seorang wanita di dalam lif stesen MRT dua minggu lepas, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Pembaiki pendingin hawa, G.Thinathayaalan, 26, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahyon Talib.

Tertuduh yang berkemeja biru tua dan seluar paras lutut didakwa merompak pengurus bank Lee Meei Shan, 48, dengan melarikan kad pengenalan, lesen memandu, dua kad ATM bank, dua kad kredit bank dan wang tunai RM400 juga telah sengaja menyebabkan kecederaan ke atas mangsa.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di dalam lif Stesen MRT, Taman Mutiara, Cheras di sini pada 6.45 pagi, 14 Februari lepas mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N.Joy Jothi tidak menawarkan wang jaminan kerana perbuatan yang dilakukan tertuduh sangat kejam selain mengambil kira kejadian itu mendapat tumpuan masyarakat umum selepas tular di media sosial.

“Kes ini menjadi tular kerana kejadian dirakam melalui kamera litar tertutup (CCTV). Pohon jaminan tidak dibenarkan berikutan kejadian ini sangat kejam,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan untuk jaminan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 15 Mac untuk sebutan semula kes bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Pada 14 Februari lepas, berdasarkan rakaman CCTV selama 55 saat, mangsa yang menaiki lif seorang diri, dipukul dan ditendang suspek sebelum melarikan kad pengenalan, kad bank dan wang tunai RM400.

Wajah suspek itu juga agak jelas kelihatan. - BERNAMA

rompak, MRT

Artikel Lain