suria

Tiga mangsa Toyota Innova terbabas di Kulai, kritikal

TIGA mangsa kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova yang terbabas di KM18.2 Lebuhraya Utara Selatan arah selatan dekat Kulai pada Jumaat berada dalam keadaan kritikal dan sedang dirawat di Zon Merah, Hospital Sultanah Aminah (HSA), di Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow berkata kesemua mereka adalah dua wanita iaitu Timbalan Ketua Muslimat PAS Tenggara, Rodhiyah Abu Hassan, 47, beralamat di Taman Sayong Indah, Bandar Tenggara dekat Kota Tinggi dan Mariah Ulfah Zulkefli, 26, beralamat di Jalan Sulaiman, Muar serta seorang lelaki, Muhamad Adam Azian, yang belum dikenal pasti umurnya.

“Ketiga-tiga mereka merupakan penumpang belakang Toyota Innova terbabit. Selain tiga yang kritikal itu, lima lagi mangsa dilaporkan cedera dan dirawat di HSA serta Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai,” katanya yang dihubungi di Johor Bahru pada Sabtu.

Tok berkata kelima-lima mereka adalah Abdul A'raaf Iftirash Abdul Karim, 10 (cedera di kepala); Hasnul Rizal Mohd Zain, 46 (penumpang hadapan dan cedera pergelangan tangan); pemandu Toyota Innova yang dikenali sebagai Riduan (cedera ringan); Siti Nur Safiah Abdullah 15, (cedera ringan); serta Muhamad Norfauzan, 12, (patah tulang selangka).

Beliau berkata identiti kanak-kanak yang maut dalam kemalangan terbabit dikenal pasti sebagai Muhammad Amirul Hakimi Abdullah, 11, manakala seorang lagi kanak-kanak, Muhammad Salihin Darwisy, 11, pula merupakan satu-satunya mangsa yang tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kemalangan melibatkan 10 mangsa tersebut.

Katanya menurut maklumat dari pihak Madrasah Tahfiz Ar Rayyan di Bandar Tenggara, Muhammad Amirul Hakimi, Muhammad Salihin Darwisy, Abdul A'raaf Iftirash, Muhamad Adam, Hasnul Rizal serta Riduan ingin pergi ke bandar raya ini untuk menghadiri satu majlis tahlil.

“Rodhiyah, Siti Nur Safiah, Mariah Ulfah dan Muhamad Norfauzan pula ingin pergi ke program Bantahan Hina Nabi di Bandar Baru Uda dan mereka menumpang kenderaan dipandu Riduan itu memandangkan tempat yang hendak dituju adalah satu laluan sama,” katanya.

Menurut Tok, pegawai penyiasat kini masih berhubung dengan pihak madrasah berkenaan bagi mendapatkan sebahagian lagi butir pengenalan diri mangsa.

Dalam kejadian kira-kira 1.35 tengah hari Jumaat, tayar Toyota Innova dinaiki 10 mangsa termasuk pelajar Madrasah Tahfiz Ar Rayyan berkenaan pecah, menyebabkan kenderaan itu hilang kawalan lalu terbabas melanggar besi tengah pembahagi jalan sebelum berpusing dan terbalik ke lorong kecemasan arah sama.

Terdapat mangsa tercampak ke atas jalan dan salah seorang daripadanya, Muhammad Amirul Hakimi, yang maut di tempat kejadian.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

kemalangan, MPV, Toyota Innova

Artikel Lain