suria

Terengganu catat 18 kes kebakaran hutan gara-gara cuaca panas melampau

Gambar Hiasan

CUACA panas melampau terus memberi kesan kepada hutan di negeri ini apabila Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Terengganu pada Isnin menerima 18 kes kebakaran hutan di beberapa daerah.

Pegawai Pusat Gerakan Operasi, Penolong Kanan Penguasa Bomba Terengganu, Shahrizal Shamsudin berkata kesemua kes kebakaran itu melibatkan hutan, belukar, dan tanah gambut dengan jumlah keluasan kira-kira 12 hektar.

“Kawasan yang terlibat termasuk enam di daerah Kemaman, empat di Dungun, empat di Kuala Nerus, selebihnya di Kuala Terengganu, Marang, Besut dan Setiu.

Pihak Bomba mula menerima panggilan kecemasan bagi memadam kebakaran hutan sejak pukul 12.03 tengah hari sehingga jam 8.14 malam Isnin.

“Ada di antara kebakaran tersebut telah berjaya dipadamkan dan ada juga yang masih dalam proses pemadaman.

“Bomba turut memantau kawasan-kawasan berpotensi berlaku kebakaran berulang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Menurut Shahrizal, sepanjang operasi memadam kebakaran hutan, pelbagai kekangan dihadapi pihaknya termasuk kebakaran waktu malam yang mengakibatkan visual yang terhad.- BERNAMA

Kebakaran hutan, bomba

Artikel Lain