suria

KKM siasat dakwaan doktor palsukan rekod perubatan jemaah haji, umrah

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyiasat dakwaan berhubung tindakan sesetengah doktor memalsukan rekod perubatan jemaah haji dan umrah khususnya suntikan vaksin.

Timbalan menterinya, Dr Lee Boon Chye berkata Lembaga Perubatan Malaysia (MMC) bersedia menyiasat dakwaan berkenaan dan sekiranya benar, tindakan akan diambil kepada doktor tersebut.

"Kami memandang serius hal ini kerana vaksin ini memang diberikan oleh doktor dan (menjadi) tanggungjawab mereka (doktor) memberikan vaksin itu.

"Apabila doktor menandatangani dokumen tersebut (borang vaksin jemaah haji), ini menunjukkan bahawa dia yang memberikan vaksin. Ini adalah perkara yang serius, pemalsuan dokumen oleh doktor adalah sentiasa dianggap perkara yang serius,” katanya.

Sebelum ini, portal dalam talian melaporkan beberapa rakyat Malaysia yang menunaikan umrah dan haji di Makkah didakwa memalsukan rekod perubatan untuk melepasi peraturan vaksin Arab Saudi.

Lee ditemui pemberita pada sidang media selepas melancarkan Program Derma Darah sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan 2019 di Putrajaya pada Selasa.

Turut hadir Ketua Penolong Pegawai Perubatan Malaysia Dr Md Zaki Othman dan Timbalan Pengarah 1 Pusat Darah Negara Dr Tun Maizura Mohd Fathullah.

Program berkenaan dilaksanakan serentak di seluruh negara pada Selasa membabitkan penolong pegawai perubatan menderma darah dan menyasarkan 1,000 beg darah dapat dikumpulkan.

Dalam perkembangan lain, sebanyak 3,135 penambahan kakitangan pelbagai jawatan bagi KKM tahun ini untuk memantapkan lagi perkhidmatan kementerian berkenaan.

Lee berkata lantikan tersebut akan melibatkan lepasan graduan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia tahun 2017.

Katanya antara lantikan tersebut melibatkan 517 penolong pegawai perubatan bagi Februari dan Mac (fasa pertama) dan bulan Julai (fasa kedua) pula seramai 775 lagi lantikan untuk jawatan tersebut.

Selebihnya (lantikan) itu termasuk jururawat, pembantu pembedahan pergigian, juruteknologi pergigian, pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam, fisioterapi dan lain-lain, katanya. - BERNAMA

KKM, haji, umrah

Artikel Lain