suria

PH tak gentar Umno 'kahwin' PAS

TUN Dr Mahathir Mohamad berkata Pakatan Harapan (PH) tidak gentar melihat gabungan PAS dengan UMNO kerana ia memberi banyak isu dan peluang dalam mendedahkan kedua-dua parti bahawa pembohongan telah menjadi wajib bagi mereka.

Perdana Menteri berkata gabungan itu agak menarik kerana asas perpecahan dan penubuhan PAS dahulu belum selesai.

“Ulama Umno keluar Umno untuk menubuh PAS kononnya kerana Islam. Lagipun semasa kepimpinan Umno yang lepas, salah satu sebab penggabungan bahkan kerjasama Umnp dan PAS tidak berlaku adalah kerana PAS telah mengkafirkan Umno,” katanya menerusi catatan di blog rasminya, chedet.cc malam Rabu.

Dr Mahathir, yang juga Pengerusi PH berkata antara faktor lain, PAS juga tidak mahu bekerjasama dengan Umno pada masa dahulu kerana Umno mengamalkan perlembagaan yang dituduh sekular dan kafir.

“PAS tidak pernah menarik balik “fatwa” tersebut. Sudahkah PAS Islamkan Umno?,” soal Dr Mahathir.

“Ini adalah di antara asas ‘Amanat Haji Hadi' yang membawa kepada sembahyang dua imam; tidak mahu makan sembelihan orang Umno, jenazah perlu disembahyangkan semula oleh orang PAS jika sebelumnya disembahyangkan oleh orang Umno, mengharamkan anak mengahwini anak orang Umno, mengharamkan isteri mengundi Umno dan jika dilakukan akan gugur talak dan bermacam-macam lagi,” katanya.

Dr Mahathir turut mempersoalkan, sama ada kesemua larangan dan amalan-amalan itu telah ditarik balik atau diarah untuk dihentikan?

“Apakah orang Umno terima bahawa mereka dengan PAS kelainan agama tetapi perbezaan ini diterima kedua-dua pihak,” soalnya.

Beliau berkata melihat kepada perkembangan sekarang, kerjasama antara Umno dan PAS lebih ke arah untuk mengembalikan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin dan menghalalkan semua jenayah yang didakwa terhadapnya.

“Adakah PAS sudah anggap Najib yang sedang menghadapi tuduhan-tuduhan rasuah dan salah guna kuasa tidak bersalah.

“Apakah atas nama penyatuan Melayu dan Islam, rasuah, salah guna kuasa dan jenayah boleh dihalalkan?. Apakah ini adalah pembohongan yang wajib?

“Betul Najib belum didapati bersalah kerana perbicaraan oleh Mahkamah belum dapat diadakan. Akan terimakah Najib sebagai pemimpin PAS jika ia didapati bersalah,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, jika anggota dan pemimpin PAS yang arif akan apa yang berlaku di serata dunia, kenapa mereka masih bersedia bersekongkol bersama Umno dan Najib.

“Tidak sedarkah mereka bahawa ramai ahli Umno sudah meninggalkan Umno kerana telah jadi kleptokrasi dan bukan demokrasi.

“Mereka juga pasti sedar bagaimana beberapa buah bank terkenal dunia telah ditutup dan pegawai-pegawai mereka didakwa dan di jel kerana pembabitan di dalam skandal 1MDB,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir berkata, PAS perlu sedar nilai yang diterap apabila bekerjasama dengan Najib dan Umno di waktu ini iaitu Najib menggelar dirinya dan digelar oleh pengikutnya sebagai ‘Boss' yang tidak perlu berasa malu.

“Bos bermakna ‘Tuan Hamba'. Apakah PAS juga bersedia untuk jadi hamba kepada seorang yang dipercayai mencuri. Sudah gugurkah PAS perasaan malu apabila menerima Najib sebagai “boss”,” kata Dr Mahathir.

Dr Mahathir turut menceritakan beberapa orang pemimpin PAS telah datang berjumpa beliau dan menyerah satu dokumen akujanji akan menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

“Pemimpin PAS kata tidak akan berkempen sokong BN di Semenyih. Tetapi pada hari penamaan calon ramai pemimpin PAS hadir bersama pemimpin BN. Inikah janji PAS?,” tanya Dr Mahathir.

Pada Selasa, Umno dan PAS mengumumkan kerjasama secara rasmi yang akan memfokuskan aspek penyatuan ummah. - BERNAMA

PH, Tun M, Umno, PAS

Artikel Lain