HARI Ini, genap lima tahun misteri kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370. Namun ingatan waris mangsa pada insan tersayang tidak pernah pudar, termasuk isteri kepada pramugara pesawat malang itu, Mohd Hazrin Mohamed Hasnan iaitu Intan Maizura Othaman, 39, dan dua anaknya, Iman, 10 serta Muhammad, 5. Nyata kesan kejadian itu begitu mendalam buat Muhammad yang mana ketika tragedi berlaku pada 8 Mac 2014, Intan sedang mengandungkan anak bongsunya itu. Intan Maizura (kiri) dan anak bongsunya, Muhammad. Foto Intan Maizura Othaman Menerusi laman sosial Instagram pada awal pagi Jumaat, Intan memuat naik video perbualannya bersama Muhammad mengenai Mohd Hazrin dengan panggilan Papa. Intan: Muhammad kalau jumpa Papa, Muhammad nak cakap apa? Muhammad: Muhammad sayang Papa, Muhammad nak tahu Muhammad punya Papa mana. Intan:Sekarang Papa dekat mana? Muhammad:Papa dekat kubur. Intan: Kubur Papa dekat mana? Muhammad:Dekat Shah Alam. Intan:Mana Mama tahu kubur Papa dekat Shah Alam. Demikian perbualan dua beranak itu menerusi video yang diakhiri dengan Muhammad membaca surah al-Fatihah. Kenangan... Intan (kanan) bersama suami tercinta. Foto Intan Maizura Othaman Memasuki tahun kelima kehilangan suaminya, Intan reda dengan ketentuan Ilahi dan bersyukur kerana diberi kekuatan untuk mengharungi keadaan yang menimpanya. "Disyukuri dengan anak perempuan dan anak lelaki yang comel dan berdikari. Kedua-duanya amat merindui kamu. Mereka kirim salam kepada kamu. "Ia tidak pernah mudah untuk saya mengendalikan segala-galanya sendiri tetapi saya perlu melihatnya secara positif. Ambil yang negatif dan menjadikannya positif," katanya menerusi catatan di laman sosial Instagram miliknya. Intan turut bersyukur kepada Allah SWT kerana menjadikannya lebih kuat dan gembira berdepan dengan cabaran-cabaran setiap hari tanpa di sisi suami. "Luka dan kesedihan saya tidak dapat dibandingkan dengan wanita malang yang tidak mempunyai wang untuk membeli makanan untuk anak-anak dan keluarganya; ibu tunggal yang tidak mempunyai perlindungan untuk duduk dan tidur serta ramai lagi di luar sana yang masih bergelut dengan keganasan suami. "Saya masih tersenyum, masih ketawa tetapi saya kurang menangis. Tidak akan biarkan anak-anak melihat Mama mereka menangis di saat saya menggalakkan mereka supaya gembira dan kuat," ujarnya. Tiga beranak ini bersyukur terus diberi kekuatan untuk menjalani kehidupan meskipun tanpa insan bergelar suami dan bapa. Mendoakan suaminya setiap hari, Intan memberitahu, Yang Maha Esa mengetahui segala-galanya dan sebaik-baik perancangan adalah daripadaNya. "Kamu tidak pernah lenyap daripada ingatan saya B. Kamu dan kenangan manis kamu selamanya akan bersama kami selama-lamanya. Assalamualaikum B.... kami merindui kamu B, amat merindu kamu," katanya. Mohd Hazrin merupakan antara 239 penumpang dan anak kapal yang menaiki pesawat MH370, yang hilang kira-kira sejam selepas pesawat tersebut berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam penerbangan ke Beijing, China, pada 8 Mac 2014. View this post on Instagram A post shared by AIRBNB HOST & LADY BOZZ (@intanmaizuraothaman) on Mar 7, 2019 at 8:39am PST