suria

Penyewa PPR Taman Manggis langgar syarat dibenar kembali sementara

Sebahagian penduduk PPR Taman Manggis yang diusir dari kediaman mereka masih berkampung di perkarangan Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) pada Jumaat. foto LIM BENG TATT/The Star

PENDUDUK Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis yang telah diarahkan keluar dari unit sewaan mereka kerana melanggar syarat penyewaan, dibenarkan kembali ke unit masing-masing selama tiga hari bermula Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Desa, Kesihatan, Pertanian dan Industri Asas Tani Pulau Pinang, Dr Afif Bahardin berkata langkah sementara itu diambil sebelum tindakan selanjutnya diputuskan kerajaan negeri.

“Kita masih belum membuat apa-apa keputusan sama ada mereka perlu keluar semula dari unit-unit terbabit selepas tempoh kebenaran itu tamat iaitu Ahad ini. Pada masa sama pelan tindakan lanjut sedang dibincangkan,” katanya kepada pemberita di George Town pada Jumaat.

Katanya keputusan kebenaran masuk sementara itu diputuskan pada perbincangan beliau bersama-sama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo serta Pejabat Perumahan Kerajaan Negeri.

Sebanyak enam keluarga yang diarahkan keluar dari unit mereka bertindak “menghuni” perkarangan bangunan Komtar di sini sejak Rabu sebagai membantah arahan itu.

Sementara itu, Pengerusi Perdagangan Dalam Negeri and Antarabangsa, Hal Ehwal Pengguna dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Abdul Halim Hussain berkata beliau telah menawarkan petempatan sementara kepada kumpulan keluarga yang terlibat malam tadi namun ditolak.

Menurutnya enam keluarga berkenaan berkeras untuk kembali semula ke rumah di Taman Manggis.

"Tawaran ini tidak akan ditarik balik," katanya. - BERNAMA

PPR, Taman Manggis

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain