suria

Wanita 20 tahun ditahan cuba buang bayi dalam mangkuk tandas hospital

SEORANG wanita yang disyaki cuba membuang bayi lelaki dalam mangkuk tandas di bahagian Zon Kecemasan Hospital Selayang di ibu negara pada Ahad petang , ditahan sejurus cubaan itu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata kejadian pada pukul 3.00 petang itu dilihat seorang wanita pekerja kilang yang memaklumkan perkara itu kepada pengawal keselamatan.

“Tindakan saksi yang bergegas memaklumkan kepada pengawal keselamatan berjaya menyelamatkan nyawa bayi yang mahu dibuang wanita itu,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini, Isnin.

Bayi itu berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata siasatan awal mendapati wanita berusia 20 tahun itu baru melahirkan anaknya dan siasatan lanjut akan dilakukan selepas wanita itu mendapatkan rawatan di hospital itu.

“Pada masa ini suspek ditahan di wad Zon Merah hospital itu untuk rawatan dan enggan memberikan kerjasama ketika ditemubual oleh doktor… dia hanya menangis sejak ditempatkan di wad Zon Merah,” katanya.


Hospital Selayang, bayi, Samsor

Artikel Lain