SEORANG murid perempuan berusia 10 tahun maut, manakala dua lagi cedera parah apabila dirempuh sebuah kereta, semasa mereka sedang menunggu untuk pergi ke sekolah di Kota Belud kira-kira 70 kilometer dari Kota Kinabalu. Max Christty yang merupakan murid SK Tempasuk 2, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala, dalam kemalangan yang berlaku di jalan Kg Temasuk 2 di Kg Rinig, pada kira-kira pukul 6.40 pagi Isnin. Dua lagi mangsa, Michelle Marianne David, 14, dari SMK Pekan 1 Kota Belud, dan Maxryona Masdi berusia tujuh tahun, dalam keadaan kritikal dengan kecederaan di kepala. Mereka dirawat di hospital daerah Kota Belud, sebelum dipindahkan ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu. Pasukan bomba, yang mendapat panggilan berhubung kejadian berkata, kesemua pelajar itu sedang menunggu untuk dibawa ke sekolah apabila dirempuh oleh sebuah kereta yang dipandu oleh seorang petani. Dipercayai petani berusia 54 tahun itu disyaki di bawah pengaruh alkohol, dalam perjalanan pulang dan hilang kawalan, sebelum merempuh ketiga-tiga mangsa dan terbabas ke kawasan sebuah rumah. Petani tersebut mengalami cedera ringan dan diberikan rawatan pesakit luar. Dia kemudian ditahan polis untuk siasatan. - The Star