SEORANG pengguna Facebook dari Sarawak yang dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun kerana menghina Islam akan menjalani pemeriksaan mental susulan arahan daripada Mahkamah Tinggi di Kuching. Hakim Azahari Kamal Ramli mengeluarkan arahan itu ketika mendengar permohonan untuk menyemak semula kes terhadap Alister Cogia, pada Rabu. Dia mengarahkan Alister, 22, supaya dirujuk ke Hospital Sentosa, Kuching untuk diletakkan dalam pemerhatian selama sebulan sebelum pendengaran disambung pada 16 April depan. Permohonan itu dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Lintang, See Chee How dari PKR pada Selasa. "Permohonan kami adalah untuk dua perkara. Satu, menghantar dia untuk pemerhatian di Hospital Sentosa. "Kedua, melihat nota-nota prosiding kerana terdapat beberapa isu yang perlu dipertikaikan mengenai persoalan sama ada wujudnya kegagalan pengadilan," ujar See. Selain Adun itu, peguam Francis Teron, Desmond Kho, Jeffery Mok and Chai Pei Chen turut bersamanya dalam permohonan semakan itu. Kata Hakim, pihak pendakwa bersetuju dengan isu pertama untuk menghantar Alister untuk pemerhatian mental terlebih dahulu. "Kami akan kembali pada 16 April untuk meneruskan isu kedua, jika perlu, sama ada terdapat apa-apa kesalahan dalam sabitan dan hukumannya, melainkan jika dia terbukti mempunyai masalah mental," katanya lagi. Alister sebelum ini mengaku bersalah dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga atas tindakannya memuat naik posting menghina Islam di media sosial. Dia dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan didenda RM50,000. - The Star.