suria

Kerajaan PH cari penyelesaian bagi masalah rakyat

PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah memfokuskan usaha pemulihan, merancakkan ekonomi dan menampilkan imej negara yang baik di persada antarabangsa.

Penganalisis politik yang juga Pensyarah Kanan Pusat Perdana Universiti Teknologi Malaysia Dr Mazlan Ali berkata kerajaan Pakatan Harapan turut memberi tumpuan kepada pendidikan sebagai suatu usaha yang tidak boleh dikompromi oleh mana-mana pihak dalam membangunkan negara dan rakyat.

Selain itu, katanya, kos sara hidup generasi muda turut diutamakan oleh kerajaan kerana golongan itu perlu membina kehidupan selepas tamat belajar.

"Sudah pasti mereka memerlukan suatu keadaan ekonomi yang kondusif yang boleh membantu mereka menstabilkan kehidupan berbanding golongan yang lebih senior.

"Medan Parlimen yang sedang bersidang hari ini adalah satu forum yang sesuai. Kita tidak boleh memandang remeh tuntutan golongan muda kerana ia sesuatu yang perlu direalisasikan oleh kerajaan," katanya ketika bercakap dalam program Ruang Bicara di Bernama News Channel di Kuala Lumpur, pada Selasa yang dikendalikan pengacara Wan Syahrina Ab Rahman.

Mengulas mengenai kesan landskap baharu politik negara setelah dua hari Dewan Rakyat bersidang bagi penggal kedua, Mazlan berkata daripada sudut demokrasi, semangat untuk bersuara di dewan ini adalah baik bagi negara.

"Satu pihak akan berusaha untuk memastikan perjalanan kerajaan itu berkesan. Pada masa yang sama, yang menyemak imbang itu adalah mereka yang seolah-olah satu kerajaan bayangan kepada kerajaan yang memerintah sekarang," katanya ketika mengupas tajuk 'Dewan Rakyat: Kuasa Rakyat atau Kuasa Politik?'

Seorang lagi ahli panel, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd. Izzat Afifi Abdul Hamid pula berharap persidangan kali ini ditumpukan kepada usaha memulihkan ekonomi negara.

Waktu untuk berpolitik sudah tamat dan kini masanya untuk rakyat melihat apakah rancangan kerajaan untuk memastikan pembangunan dan kemajuan negara dikekalkan.

Mohd. Izzat turut membangkitkan isu Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) iaitu Tabung khusus untuk pelajar berkemahiran yang juga menjadi agenda perjuangan MBM.

Menurutnya masalah kekurangan dana PTPK menyebabkan pelajar institusi kemahiran gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

"Bagi saya isu ekonomi dan pendidikan anak muda antara isu yang perlu diselesaikan segera. Ahli-ahli parlimen kita mesti terus suarakan dan bincangkan untuk kepentingan anak-anak muda kita," katanya.

PTPK yang ditubuhkan pada 1 Jun 2006 di bawah Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 (Akta 640) bertujuan mengurus Tabung Pembangunan Kemahiran yang dahulunya dikendalikan oleh Bahagian Tabung Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia.- BERNAMA

Dr Mazlan Ali, Pakatan Harapan

Artikel Lain