SULTAN Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar murka dan kesal terhadap mereka yang didapati terlibat dalam kes pembuangan bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim di Pasir Gudang sehingga memberi kesan buruk kepada murid, pelajar sekolah dan orang awam. Baginda Tuanku bertitah mahu pihak berkuasa melakukan siasatan secara menyeluruh terhadap insiden itu. Pada masa sama, Sultan Ibrahim melahirkan penghargaan terhadap pasukan perubatan yang bertungkus-lumus memberikan rawatan kepada mangsa yang dimasukkan di Hospital Sultan Ismail (HSI). "Disebabkan perbuatan tidak bertanggungjawab, ratusan orang termasuk murid serta pelajar sekolah terpaksa dikejarkan ke hospital bagi mendapat rawatan susulan. Malah ada yang bertarung nyawa dalam ICU!. Pelajar sekolah dibawa ke Unit Kecemasan HSI. "Ini adalah rakyat dan saya tidak akan membenarkan perkara ini melarat. Saya menggesa semua pihak berkuasa kerajaan untuk segera menangkap dan menghukum pelaku. "Saya amat sedih apabila melihat ramai yang merana akibat tindakan mereka yang tidak berperikemanusiaan. Bukan sahaja kanak-kanak tetapi juga orang dewasa yang melakukan tugas seperti pemandu ambulan, pekerja kantin sekolah," titah Sultan Johor kepada Royal Press Office seperti dipetik dari Faceboook pada Selasa. Sultan Ibrahim bertitah menasihatkan orang ramai terutamanya penduduk di sekitar kawasan kejadian supaya sentiasa berhati-hati dan segera mendapatkan rawatan jika berada kurang sihat. "Sekolah juga tidak harus dibuka selagi keadaan tidak benar-benar selamat untuk pelajar dan guru. Kurangkan juga seberapa banyak pergerakan di luar," titahnya. -Sinar Harian