SEORANG lelaki ditemukan mati tergantung dengan kesan jerut di leher di kediamannya di Kampung Tanjung Batu Darat pada Selasa. Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata dalam kejadian antara 12 tengah malam hingga 7 pagi itu, mangsa berusia 36 tahun itu ditemui terjerut di leher dengan seutas tali pinggang yang digantung pada pintu bilik. "Mangsa ditemui anak lelakinya berusia 10 tahun yang bangun dari tidur dan membuka pintu bilik tidur mangsa. "Ketika kejadian hanya simati dan anaknya berada di rumah tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa. Fadil berkata hasil siasatan turut mendapati mangsa baru sahaja menjaga anaknya sejak dua bulan lalu selepas isterinya melarikan diri pulang ke Filipina. "Difahamkan isterinya bertindak pulang ke Filipina kerana mempunyai masalah rumah tangga dengan mangsa dan sejak dari itu mangsa muram serta mendiamkan diri dan tidak mahu bercakap dengan kelurganya," katanya. Fadil berkata sehingga kini hasil siasatan mendapati tidak wujud unsur-unsur jenayah dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.-Bernama