KEMENTERIAN Pendidikan mahu mereka yang terlibat dalam kes pencemaran bahan kimia ke dalam Sungai Kim Kim di Pasir Gudang segera dihadapkan ke muka pengadilan dan menerima hukuman setimpal. Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, beliau sedih selepas melihat keadaan pelajar, guru serta pekerja sekolah yang merupakan ahli keluarga Kementerian Pendidikan terlibat dalam bencana tersebut. "Saya merasakan keselamatan untuk murid, pekerja dan guru sekolah harus diberi keutamaan. Saya tidak mahu lagi melihat ramai di antara murid, guru dan pekerja sekolah menjadi mangsa. "Saya bersama ibu bapa, rakyat untuk memastikan keselamatan murid, guru dan juga pekerja sekolah akan diberi keutamaan," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke atas mangsa yang ditempatkan di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Bahru, Selasa. Maszlee berkata, Kementerian Pendidikan akan memberi kerjasama dengan agensi terlibat dan kerajaan negeri dalam memastikan pelaku yang terlibat dihadapkan ke muka pengadilan serta menerima hukuman setimpal. Katanya, kementerian juga memita supaya pihak seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), kerajaan negeri dan lain-lain segera menangkap pelaku terbabit dalam kes pembuangan bahan kimia itu. "Kita tidak boleh lagi bertoleransi terhadap orang yang mencemarkan alam sekitar yang akhirnya menggadaikan nyawa dan juga kesihatan anak-anak kita. "Sudah sampai waktu untuk kita mengenakan tindakan keras terhadap penjenayah ini," katanya.-SinarHarian