suria

Tengku Puteri Iman tampil tangani isu kesihatan mental, kini dilantik penaung diraja Miasa

Tengku Puteri Iman Afzan (kanan) kini penaung diraja Miasa.

KURANGNYA kefahaman mengenai kesihatan mental hingga membawa kepada sentimen dan konotasi negatif menjadi ilham buat Tengku Puteri Iman Afzan Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk tampil membantu mengatasi isu berkenaan.

Menurut anakanda Yang di-Pertuan Agong Ke-16 ini, walaupun pedih untuk dinyatakan, namun kesedaran mengenai kesengsaraan berdepan masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat masih kurang meskipun ia sesuatu yang amat membimbangkan.

Sehubungan itu, puteri sulung ini berkata, adalah penting untuk bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan terutama bagi membantu mengikis stigma dan diskriminasi masyarakat terhadap individu yang berhadapan masalah mental.

“Dari awal lagi, saya sangat kagum dengan Miasa. Semangat, jiwa dan raga pertubuhan ini dalam memperjuangkan isu ini tiada tolak bandingnya.

“Dengan pelantikan ini, saya akan cuba membantu atas kapasiti yang saya miliki, tak kira besar atau kecil dalam isu kesihatan mental dan akan membawa inisiatif ke hadapan. Saya cukup teruja untuk menjadi sebahagian dalam usaha ini.

“Malahan titah ayahanda beberapa hari lalu ketika perasmian sidang Parlimen, menunjukkan ia bukan sekadar slogan semata-mata,” katanya ketika ditemui mStar Online pada sidang media Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (Miasa) di Petaling Jaya, pada Rabu.

Baru-baru ini di Parlimen, Sultan Abdullah bertitah, perubahan profil demografi dan gaya hidup telah meningkatkan permintaan terhadap penjagaan kesihatan.

Sehubungan itu, titah baginda, melalui Transformasi Sistem Kesihatan Negara, kerajaan akan meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan berkualiti dan ia akan diperkukuhkan lagi melalui Dasar Kesihatan Nasional dan Program Komuniti Sihat Perkasa Negara.

"Beta menyeru semua pihak kembali kepada prinsip mencegah lebih baik daripada mengubati serta amalkan gaya hidup dan makanan yang sihat," demikian titah Sultan Abdullah.

Terdahulu, pada majlis anjuran Miasa, telah diumumkan pelantikan Puteri Iman selaku penaung diraja pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) itu.

Tengku Puteri Iman Afzan

Ia merupakan penglibatan pertama buat Miasa apabila melantik penaung diraja dalam memperjuangkan kesihatan mental dalam melindungi pesakit dan keluarga mereka daripada menjadi mangsa stigma dan diskriminasi.

Sementara itu, Presiden Miasa, Anita Abu Bakar, ketika ditemui berkata stigma mengenai penyakit mental menjadi punca seseorang itu enggan mendapatkan bantuan pakar psikologi dan seterusnya memberi kesan negatif terhadap pesakit.

“Kadang-kala kita takkan sedar diri sendiri sakit dan kalau nak sedar pun mungkin ambil masa lama.

“Peranan orang sekeliling seperti keluarga atau rakan-rakan penting untuk memaklumkan perubahan yang mereka lihat terhadap seseorang. Mereka perlu jujur, kalau nampak pelik lebih baik beritahu.

“Sebab itu kami menjalankan pelbagai aktiviti untuk membantu pesakit sehingga ia memberi kesan berterusan dalam kehidupan pesakit,” ujarnya.

Miasa adalah NGO yang ditubuhkan September tahun lalu bagi mempromosikan kepentingan kesihatan mental dalam menyediakan sokongan kepada pesakit dan penjagaan melalui pelbagai inisiatif.

Tambah Anita, kepentingan membentuk masyarakat yang mampu menerima masalah kesihatan mental sebagai sesuatu yang tidak asing dalam masyarakat mampu memberi impak positif dalam kalangan pesakit.

“Stigma atau tanggapan negatif yang sering diberikan bukan saja kepada penyakit berkenaan tetapi juga kepada pesakit itu sendiri.

“Perbuatan ini akan memberi kesan kepada individu yang menderita malah melunturkan semangat mereka untuk mendapatkan bantuan dan sokongan.

“Selain mendidik orang ramai mengenai kesengsaraan dan kesukaran yang dihadapi pesakit, kerjasama ini juga diharapkan mampu menjadikan suara mereka lebih diterima dalam masyarakat.” katanya.

Puteri Iman, MIASA

Artikel Lain