suria

Seorang ibu warga emas didera, dikurung jarang diberi makan oleh anak

Keadaan warga emas yang didera anak dan menantunya.

SEORANG warga emas bukan sahaja didera sehingga mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan malah wanita itu turut dikurung dalam rumah oleh anak dan menantunya dalam kejadian di Flat Sri Desa Wawasan, Bukit Mertajam.

Wanita berusia 70-an itu akhirnya berjaya diselamatkan selepas dia meminta bantuan jirannya ketika dua anak dan menantunya tiada di rumah mereka di tingkat 12 flat berkenaan kira-kira jam 1 tengah hari Rabu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, jiran warga emas itu bertindak memotong kunci pintu jeriji rumah itu sebelum lelaki berkenaan menghubungi polis, ambulans dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata mangsa wanita itu mengalami beberapa kecederaan di bahagian belakang badan, tangan dan kepala dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.

Berdasarkan maklumat awal juga, anak kepada warga emas itu jarang memberi ibunya makanan kerana didakwa mengalami masalah kewangan," katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata susulan kejadian itu, polis menahan dua anak lelaki dan menantu perempuan warga emas berkenaan masing-masing berusia 40-an bagi membantu siasatan kes itu.

Nik Ros Azhan berkata berdasarkan maklumat JKM, dua anak lelaki warga emas itu menerima bantuan daripada jabatan berkenaan dan mereka yang mempunyai masalah mental turut tidak bekerja.

Menurutnya, menantu perempuan mangsa juga merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

"Selain empat beranak itu, cucu mangsa berusia lingkungan 11 tahun yang merupakan anak kepada pasangan suami isteri berkenaan turut tinggal di rumah itu dan pihak polis juga akan memanggil jiran mangsa untuk direkodkan keterangan bagi membantu siasatan kes.

"Polis masih menyiasat siapa yang mendera wanita itu kerana ketika diselamatkan mangsa hanya mendiamkan diri sehingga dibawa ke HSJ," katanya.- Bernam

Dera ibu, warga emas

Artikel Lain

Tragis! Ibu maut disengat tebuan