PERDANA Menteri berkata dia tidak menyedari bahawa Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian telah pergi ke Batam, Indonesia ketika berlakunya insiden pembuangan sisa toksik di Pasir Gudang. "Adakah dia pergi? Saya tidak tahu," kata Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai perkara itu dalam satu majlis dekat Putrajaya pada Sabtu. Osman dilaporkan berada di Batam, Indonesia pada Jumaat untuk mempromosikan Tahun Melawat Johor 2020 dan kehadiran beliau disambut Datuk Bandar Muhammad Rudi. Mengenai kritikan terhadap cara kerajaan Johor menangani situasi itu, Dr Mahathir berkata Osman mempunyai pandangan tersendiri berhubung perkara tersebut. "Namun akhirnya kami mempunyai pandangan sama bahawa tiada ada sebab untuk cemas atau panik kerana kami tahu kami melakukan perkara yang betul dan menangani situasi itu dengan baik," katanya. Kira-kira 2,500 mangsa terjejas akibat terhidu sisa toksik yang dibuang secara haram di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang. Dr Mahathir turut menafikan dakwaan bahawa dia memberi lampu hijau untuk menyingkirkan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu. "Tidak benar. Tiada perkara seperti itu," katanya. Timbul khabar angin bahawa Perak mendapat persetujuan beliau untuk menggantikan kedudukan menteri besar negeri itu.