SEBANYAK 16 gerai makan milik Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) di Bukit Angin yang popular dengan hidangan ikan patin musnah dalam kebakaran yang berlaku pagi Ahad. Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Temerloh Hashnuddin Hussin berkata dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 6 pagi itu kesemua 16 kedai makan mengalami kerosakan kira-kira 60 peratus akibat kejadian itu. "Pihak bomba yang menerima panggilan kecemasan segera bergegas ke tempat kejadian dan tiba pada jam 6.06 minit pagi sebelum berjaya mengawal api dalam tempoh 30 minit," katanya ketika dihubungi di Temerloh pada Ahad. Hashnuddin berkata, gerai tersebut adalah milik MPT dan disewa kebanyakan peniaga yang menjalankan makanan khususnya ikan patin. Punca dan jumlah kerugian bagaimanapun masih dalam siasatan, katanya. Turut kelihatan hadir melawat lokasi kebakaran ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Alam Sekitar dan Perladangan Negeri Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Semantan Datuk Nor Azmi Mat Ludin dan Pegawai Daerah Datuk Azlan Md Yaman. Sementara itu seorang mangsa Wan Sepiah Wan Awang 53, berkata, berikutan kebakaran itu dia mengalami kerugian dianggarkan sekitar RM15, 000 apabila kebanyakan barangan berniaga tidak dapat diselamatkan. Menurutnya, suaminya bergegas ke lokasi kejadian jam 6.15 sebaik sahaja menerima panggilan daripada orang awam dan hanya berjaya menyelamat sedikit daripada barangan yang ada di kedai selepas berjaya membuka pintu kedai. "Ada juga peniaga lagi mengalami kerugian yang lebih besar selepas tidak berjaya membuka pintu kedai dan gagal menyelamatkan sebarang barangan niaga,” katanya. - Bernama