suria

Pelajar sekolah berpeluang rebut RM20,000 dalam kempen #StandTogether

PETALING JAYA: Lebih banyak sekolah mempunyai peluang untuk mengemukakan idea sempena Minggu Baik Hati Kebangsaan atau #StandTogether Kindness Competition, kerana tarikh akhir penyerahan pertandingan telah dilanjutkan hingga 22 Mac ini.

Sekolah menengah kebangsaan dan sekolah rendah, serta sekolah swasta dan antarabangsa semuanya berpeluang memenangi sejumlah RM20,000 untuk membolehkan aktiviti baik hati mereka.

Matlamat aktiviti ini untuk menggalakkan pelajar mencurahkan idea dalam menjadikan sekolah masing-masing dalam keadaan baik dan selamat.

Projek-projek tersebut akan dijalankan pada Minggu Baik Hati Kebangsaan 2019 yang akan berlangsung pada 1-5 April ini.

Pertandingan #StandTogether ini juga adalah sebahagian daripada kempen yang dikendalikan oleh R.AGE dan syarikat pemaju hartanah iaitu SP Setia untuk mencegah masalah buli dalam kalangan pelajar.

Lebih daripada 740 penyertaan telah diterima sehingga kini. Idea bagi pemenang yang terpilih akan dikongsi melalui manifesto kempen #ENDviolence dan akan dipersembahkan kepada para pemimpin di seluruh dunia.

Walaupun persaingan tahun ini menyaksikan banyak penyertaan dari sekolah baharu, beberapa sekolah menyertai pertandingan untuk kali kedua dengan idea-idea baharu mengenai cara menyebarkan sikap baik hati di sekolah mereka sendiri.

"Semua orang sangat teruja dengan aktiviti yang kami rancangkan untuk pertandingan tahun ini - Para pelajar dan guru tidak akan berhenti membicarakannya," kata ketua panel Bahasa Inggeris Sekolah Bersepadu Kemayan, Shoba Rani Dev.

Sekolah tersebut adalah salah satu daripada 10 peserta akhir tahun lepas yang telah menerima ganjaran RM1,000.

"Setelah kami menjalankan aktiviti-aktiviti kami tahun lepas, saya perhatikan bahawa pelajar kami sekarang memahami makna kebaikan dan sentiasa mengingatkan mereka yang mengatakan atau melakukan perkara yang tidak baik untuk menjadi baik," katanya.

Sekolah yang menerima pembiayaan geran akan membentangkan projek mereka di Konsert Baik Hati pada 4 Mei depan di Pusat Konvensyen Setia City dan akan bersaing untuk merebut gelaran Malaysia’s Kindest School 2019”.

Untuk lebih lanjut berkenaan kempen dan penyertaan #StandTogether, layari laman web www.standtogether.my atau www.standtogether.my/international untuk sekolah di luar Malaysia.

kempen, #standtogether

Artikel Lain