suria

“Jenazah Haziq berseri-seri, tersenyum, seperti sedang tidur” – Ibu saudara mangsa serangan NZ

Zarina Shuib, 53, menunjukkan gambar Allahyarham Muhammad Haziq Mohd Tarmizi melalui telefon bimbitnya ketika ditemui media di kediamannya di Hutan Kampung pada Khamis. FOTO: BERNAMA

KELUARGA Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang meninggal dunia dalam insiden tembakan rambang di sebuah masjid di Christchurch, New Zealand Jumaat lepas, menerima berita kematian remaja itu dengan tenang dan reda.

Ibu saudara Allahyarham, Zarina Shuib, 53, berkata semasa membuat panggilan video dengan keluarganya yang berada di Christchurch, beliau dapat melihat dengan jelas keadaan mereka di sana yang dapat berbual dengan tenang walaupun baru kehilangan orang tersayang.

ARTIKEL BERKAITAN: Serangan masjid NZ: Pengebumian mangsa terkorban termasuk Haziq diteruskan hari ini

ARTIKEL BERKAITAN: Serangan NZ: Mohd Haziq disahkan meninggal dunia

“Cuma tidak tahulah nanti macam mana reaksi adiknya, Haris (Mohd Haris, 12,) sebab sampai sekarang mereka (ibu bapa Haziq) tidak mahu beritahu lagi bahawa abangnya sudah meninggal.

Semasa buat panggilan video tadi pun saya tak nampak Hariz dengan jelas sebab dia macam mengelak untuk berbual, dia pergi ke lain (bila telefon bimbit diberikan kepadanya), dia trauma lagi tu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Hutan Kampung, Alor Setar pada Khamis.

Beliau berkata, berita mengenai kematian Muhammad Haziq, 17, hanya diketahuinya awal pagi Khamis ketika sedang bersiap untuk ke tempat kerja.

“Dalam pukul 8 pagi tadi, adik saya (Mariani Shuib) beritahu Haziq dah tiada, tapi belum disahkan lagi. Sejam kemudian dia hubungi semula dan beritahu sudah sah Haziq meninggal dunia.
Selepas itu mereka terus uruskan pengebumian Haziq dan saya dimaklumkan hanya adik saya (Mohd Tarmizi Shuib) dan abang (Zakaria Shuib) dibenarkan ke tanah perkuburan dan semuanya selesai kira-kira 2.30 petang waktu New Zealand,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan jenazah Muhammad Haziq, Zarina memberitahu anak saudaranya terkena dua tembakan di badan, namun wajahnya tidak cedera dan kelihatan bersih.

“Adik Mariani beritahu mereka semua dapat kucup Haziq sebelum dibawa ke kubur, wajah Haziq berseri-seri, tersenyum, seperti sedang tidur dan keadaan jenazah tidak sedikit pun terjejas walaupun sudah meninggal dunia hampir seminggu.
Kami sekeluarga sangat lega, akhirnya semuanya sudah selesai. Memang la kami sangat sedih dengan ketiadaan Haziq, tambahan pula dah lama tak jumpa Haziq, tapi kami syukur akhirnya dia ditemui,” katanya

Sementara itu Zarina berkata keadaan kesihatan Mohd Tarmizi juga sudah semakin pulih dan adiknya bongsunya itu sudah dibenarkan keluar daripada hospital.

Dalam pada itu Zarina berkata keluarganya sedang berbincang untuk mengadakan majlis tahlil untuk anak saudaranya itu.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang banyak membantu urusan keluarganya di New Zealand.

Muhammad Haziq sebelum ini dilaporkan hilang selepas tragedi yang mengorbankan 50 nyawa itu, manakala bapanya Mohd Tarmizi cedera terkena tembakan.- BERNAMA

 

Artikel Lain