suria

Sebak berucap, finalis Ratu Cantik NZ dipeluk dalam masjid, terharu diminta buat tutorial hijab

Nurul (gambar kiri) semasa memberikan ucapan pada perhimpunan solidariti sempena memperingati mangsa serangan di Christchurch. (Gambar kanan) Nurul menjadi finalis top 5 bagi Miss Universe New Zealand 2018.

SUASANA sunyi dan sayu menyelubungi sesi bertafakur selama dua minit di seluruh New Zealand pada pukul 1.32 petang Jumaat waktu tempatan, bagi memperingati mangsa serangan di dua masjid di Christchurch, genap seminggu lalu.

Begitulah yang dirasai gadis Melayu yang merupakan finalis Top 5 ratu cantik Miss Universe New Zealand 2018. 

Nurul Zuriantie Shamsul, 21, berkata, Masjid Te Aroha menjadi saksi puluhan hadirin bukan Islam dan jemaah Islam berhimpun bersama sebagai tanda solidariti.

ARTIKEL BERKAITAN: “Pemergian Haziq pada Jumaat mulia, sedia untuk beribadah, semoga syahid di sisi Allah” - Mufti WP

ARTIKEL BERKAITAN: Gadis Malaysia rangkul tempat kelima Ratu Cantik NZ

Bapanya, Shamsul Ahmad turut serta bagi melaungkan azan di masjid itu dengan persekitaran begitu tenang, sebelum sesi bertafakur dilakukan selama dua minit.

Bapa Nurul melaungkan azan di Masjid Te Aroha.

Lebih mesra dengan panggilan Nurul, dia turut memberikan ucapan solidaritinya selepas sesi berkenaan sehingga menitiskan air mata.

“Pengisian ucapan saya lebih kepada agama Islam mengajar saya untuk sentiasa melihat kebaikan dalam segenap aspek, meskipun dalam waktu sukar.

“Sejak beberapa hari lalu saya tidak pernah melihat sesuatu yang begitu indah, di mana kami tidak pernah bersatu-padu seperti ini. Masyarakat di New Zealand dan seluruh dunia bersama-sama menjadi satu,” katanya kepada mStar Online mengenai perhimpunan solidariti di Te Aroha, kawasan luar bandar Waikato, kira-kira 950 kilometer dari Christchurch.

Seperti kebanyakan orang Islam di New Zealand ketika ini, Nurul turut meluahkan rasa terharu dengan kasih, belas kasihan dan penghormatan yang begitu besar yang ditunjukkan.

Perhimpunan solidariti bagi memperingati mangsa serangan di dua masjid di Christchurch.

Sehubungan itu, dia bersama komuniti Islam di negara itu mengucapkan terima kasih di atas keikhlasan, keberanian dan keprihatinan masyarakat secara menyeluruh.

Mengenai perasaan hibanya, Nurul mengakui tidak dapat menahan sebak dan air mata sewaktu membaca petikan surah Al-Imran ayat 169-170 berkaitan dengan orang-orang yang terbunuh atau syahid di sisi Allah SWT dan ganjaran yang diperolehi golongan itu. 

“Bukan saya saja, malah hampir kesemua hadirin termasuk jemaah menangis semasa mendengar ucapan saya, dan ramai wanita memeluk saya tanda solidariti selepas itu.

"Saya juga terharu apabila penduduk tempatan yang bukan Islam juga melihat kami solat berjemaah dan mereka turut mendengar khutbah Jumaat,” katanya sambil menambah, dia turut ditenangkan oleh Datuk Bandar Matama-Piako di Waikato, Jan Barnes.

Nurul (kanan) bersama Datuk Bandar Matama-Piako di Waikato, Jan Barnes.

Nurul turut menjadi perhatian apabila mendapat banyak permintaan untuk melakukan tutorial pemakaian selendang dan tudung, khususnya bagi penduduk New Zealand yang bukan beragama Islam.

Video turorialnya bukan sahaja dipaparkan di akaun Instagram portal berita New Zealand, Newshub, bahkan ia dikongsi oleh ramai pengikut di laman sosial.

“Hati saya cukup tersentuh apabila mendapat banyak permintaan untuk membuat tutorial hijab, walaupun mereka bukan beragama Islam tetapi mereka cuba memahami kesefahaman dalam menghormati dan memperingati mangsa-mangsa serangan.

“Walaupun apa yang saya lakukan (tutorial) mungkin sekecil cuma, tetapi besarnya adalah hati mereka yang turut mahu bersama-sama menyatakan solidariti mereka bersama masyarakat Islam terutama di New Zealand,” katanya.

Paparan skrin video di Newshubnz menunjukkan Nurul membuat tutorial tudung.

Selain orang ramai berkumpul di Taman Hagley, Christchurch untuk bertafakur sebelum azan berkumandang di Masjid Al Noor di Deans Ave, semua stesen televisyen dan radio percuma membuat siaran langsung bagi menghormati mangsa yang terkorban dan cedera dalam serangan di Masjid Al Noor dan Masjid Linwood.

Artikel Lain