"MACAM mana dengan Oya nanti... siapa nak jaga dia bila aku dah tak ada nanti. Aku takut sangat Ta." Demikian kata-kata Allahyarham Zatul Hejanah Abdulila, ibu kepada seorang anak cerebral palsy (CP) yang diluahkan kepada rakan baiknya, Anita Mat Tahir sebelum pemergiannya baru-baru ini. Allahyarham Zatul Hejanah, 42, yang juga Presiden Persatuan Cerebral Palsy Malaysia (MyCP) menghembuskan nafas terakhirnya pada malam Selasa lalu selepas berjuang melawan kanser payu dara selama hampir tujuh tahun. Menurut Anita, dia amat kagum melihat semangat Zatul Hejanah atau lebih mesra disapa Zatul yang masih kuat demi anak istimewanya Dalili Sofiya Zulfikri (Oya), 12, meskipun keadaannya amat teruk selepas sel kanser merebak ke tulang punggungnya. Oya (kanan) amat rapat dengan ibunya. Foto ihsan Anita Mat Tahir. "Walau sakit macam mana pun dia sangat kuat. Dia takkan tunjuk dekat kawan-kawan dia sedang sakit. Dia memang pejuang sebenar. "Kami semua tahu dia bertahan disebabkan Oya. Oya adalah sumber kekuatan dia selama ini. Jadi bila waktu dia sakit tenat tu, dia sering luah kebimbangan tentang Oya," katanya ketika dihubungi mStar Online. Jelas Anita yang juga Ahli Jawatankuasa MyCP, Zatul tidak sedikit pun mengeluh ketika menjaga anaknya Oya meskipun dalam keadaan dia sedang sakit. "Bukan mudah nak jaga anak CP. Kadang-kadang ada tantrum dia tapi Zatul tetap tenang. Tengok keadaan dia macam tu (sakit) tapi dia berjaya jaga Oya dengan baik. "Arwah amat rapat dengan Oya. Mereka sering bersama. Jadi bila Zatul dah tenat, Oya memang 24 jam bersama dengannya. Mungkin naluri anak, seolah-olah tahu mama dia nak pergi," katanya sebak. Anita yang turut mempunyai seorang anak CP memberitahu Zatul dimasukkan ke wad pada awal Februari lalu selepas keadaan kesihatannya mula merosot. Anita (kanan) bekerjasama dengan Zatul dalam MyCP selama hampir enam tahun. "Dia dimasukkan ke Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) selama lebih dua minggu sebab keadaan dia makin tenat. "Dia tak boleh berjalan sebab sel kanser dah merebak ke tulang belakang dan tulang punggung. Jadi dia terpaksa guna kerusi roda," katanya. Bimbang dengan keadaan kesihatan Zatul yang semakin merosot, Anita berkata suami allahyarham dan rakan-rakannya berusaha untuk memenuhi permintaan terakhirnya yang ingin tinggal di rumah baharu. "Arwah dan suami ada beli rumah baharu mereka di Elmina. Sepatutnya rumah itu hanya boleh diduduki pada bulan depan. "Selepas doktor beritahu dia hanya boleh bertahan untuk tempoh tertentu, kami usahakan dia masuk rumah baharu. Dia teruja sangat nak duduk rumah baharu mereka. "Kami kemas apa yang patut dan Alhamdulillah dia dapat bertahan selama tiga minggu sebelum dimasukkan semula ke hospital pada Ahad lalu dan meninggal dunia dua hari kemudian," katanya. Zatul sempat merasai tinggal di rumah baharunya selama tiga minggu sebelum pergi selamanya malam Selasa lalu. Ditanya mengenai keadaan Oya, Anita berkata anak bongsu daripada dua beradik itu seolah-olah reda dengan pemergian ibunya. "Mungkin dia faham yang mama dia sudah lama menderita. Pukul 9 malam (Selasa) sebelum mama dia meninggal, dia menangis teresak-esak. "Dia pegang dan peluk semua orang. Selepas mama dia meninggal dia tenang, seolah-olah tahu mama dia dah pergi. Bila kebumi jenazah dia menangis, mungkin dia faham mama dia sudah tinggalkan dia," katanya. Anita berkata, suami Zatul, Zulfikri turut bersedih dengan pemergian isterinya itu. "Dia kata tak boleh hidup tanpa Zatul. Mereka dah kenal agak lama, dari zaman belajar sehinggalah disatukan ke jenjang pelamin. Lagipun mereka gemar melakukan aktiviti lasak bersama-sama. "Memang sukar kerana Oya banyak diuruskan oleh Zatul. Dia (Zulfikri) pun bimbang siapa nak jaga Oya dan macam mana nak jaga Oya selepas isterinya sudah tiada," katanya. Zatul (dua dari kanan) duduk di atas kerusi roda sambil dibantu suaminya semasa program anak-anak CP. Meskipun kehilangan seorang pejuang anak-anak CP, Anita berkata dia dan rakan-rakan lain akan terus memperjuangkan semangat Zatul. "Banyak kenangan saya dengan arwah. Ada banyak suka duka bersama. Saya masih teringat lagi kami turun naik pejabat untuk usahakan pusat MyCP. Meskipun dia tegas, dia seorang ibu yang penyayang dan mudah menerima pendapat orang lain. "Kami akan terus bawa semangat Zatul demi anak-anak CP. Kami mahu anak-anak CP ini diberi peluang pendidikan sama rata seperti anak-anak lain supaya masa depan mereka lebih terjamin. Kami juga mahu masyarakat tidak mengasingkan anak istimewa kami," katanya.