suria

Hasrat jurutera tengok adik nikah tak kesampaian, lima maut tragedi pulang kenduri

Ibu bapa mangsa kemalangan, Ramzainiah Haron dan Rahimi Yaakub mengiringi jenazah anaknya Nur Ilham Najwa Rahimi untuk dikebumikan di Kelantan selepas terlibat dalam kemalangan bersama empat lagi ahli keluarga pada Khamis. Foto Bernama

JURUTERA, Muhammad Faezuan Nor Izuddin sepatutnya menghadiri majlis akad nikah adik perempuannya di Kampung Jelawat, Bachok, Kelantan pada Khamis.

Bagaimanapun, hasrat itu tidak kesampaian apabila dia bersama empat anggota keluarganya maut selepas kereta dinaiki mereka terbabas sebelum bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kampung Jeram Besu di sini, awal pagi Khamis.

Menurut nenek saudaranya, Nurul Aini Haron, 51, arwah juga mahu bertemu dengan anak sulungnya Mariam Medina selepas majlis itu kerana isterinya Nor Asilah Arrahim, 28, berpantang di Kok Lanas, Ketereh selepas bersalin kira-kira sebulan lebih yang lalu. 

"Kami sepatutnya berkumpul di rumah keluarga arwah hari ini kerana majlis akad nikah akan disusuli kenduri esok. Kami ingatkan mereka tidak sempat menghadiri akad nikah dan hanya tiba esok. 

"Saya hanya tahu mereka sudah dalam perjalanan apabila menerima panggilan telefon daripada polis mengenai kejadian pada pukul 4.30 pagi tadi," katanya kepada pemberita semasa ditemui di perkarangan Unit Forensik Hospital Raub di Raub, Pahang pada Khamis.

Muhammad Faezuan antara yang maut dalam kemalangan. Foto Bernama

Dalam kejadian 3.45 pagi itu, Muhammad Faezuan, 27, dan nenek saudaranya Sobariah Haron, 54, suaminya Mohd Sajury Abdullah, 63, dan anak pasangan itu Uwais AlQurney Abdullah, 6, serta anak saudara Sobariah, Nur Ilham Najwa Rahimi, 20, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Kereta Proton Persona yang dipandu Mohd Sajury dipercayai terbabas sebelum bertembung dengan bas ekspres yang membawa 45 penumpang di Kilometer 325 Jalan Kuala Lumpur-Kota Bharu di Raub, yang menyebabkan kedua-dua kenderaan itu terseret ke bahu kiri jalan. 

Bas yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke ibu negara itu kemudiannya merempuh dua lot kedai makan di tepi jalan manakala kereta dinaiki mangsa terhumban ke dalam parit. Bagaimanapun, hanya seorang penumpang bas yang cedera ringan. 

Nurul Aini menambah beliau juga tidak mengetahui Sobariah yang menetap di Taman Rasha di Klang, Selangor bergerak pulang awal pagi kerana kakaknya tidak memaklumkan perkara itu dalam perbualan mereka dalam grup WhatsApp keluarga pada Rabu.

"Saya berkongsi berita saya terpilih untuk menunaikan haji tahun ini dan arwah mengucapkan tahniah. Arwah beritahu dia seronok bagi pihak saya... tak sangka perbualan yang gembira semalam berakhir dengan tragedi kehilangan lima anggota keluarga sekali gus," katanya. 

Nurul Aini menambah anak sulung arwah, Amirul Khairul, 20, yang menuntut dalam jurusan syariah di Universiti Al Azhar, Mesir kini dalam perjalanan pulang selepas dimaklumkan berita kehilangan semua anggota keluarganya. 

Penduduk kampung melihat kedai makan yang dirempuh bas ekspres selepas bertembung dengan kereta dalam kemalangan yang mengorban lima nyawa. Foto Bernama

Jenazah tiga beranak dan Nur Ilham Najwa yang merupakan penuntut semester dua jurusan Pengajian al-Quran dan al-Sunnah di Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS) di Bangi, Selangor dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Mak Mayung, Bachok pada Khamis. 

Jenazah Muhammad Faezuan dikebumikan di Kampung Jelawat. 

Sementara itu, emak Nur Ilham Najwa, Ramzainiah Haron, 48, berkata anak sulung daripada enam beradik itu kini sedang bercuti semester selama tiga bulan, namun tidak menyangka anaknya pulang dengan menumpang kereta kakaknya. 

"Kali terakhir kami berbual menerusi panggilan telefon pada Selasa lalu... dia ada beritahu hendak pulang tapi tidak maklumkan secara terperinci. Dia juga biasa dengan arwah kakak (Sobariah) yang dipanggil mak andak kerana arwah cucu sulung perempuan dalam keluarga kami. 

"Kali terakhir kami berjumpa ialah pada bulan Disember lalu apabila arwah pulang ke kampung dengan menaiki bas. Semasa itu, arwah memang ceria bercerita hendak pulang cuti panjang nanti," katanya. - Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Lain