PENULIS blog Raja Petra Kamaruddin menarik balik sebuah artikel yang didakwa mencemarkan reputasi jutawan China, Jack Ma susulan surat cease-and-desist daripada Alibaba Group yang berpangkalan di China. Menerusi posting tersebut, Raja Petra berkata beliau bersedia memberi Alibaba manfaat keraguan dan berjanji tidak akan mengulangi cerita itu. "Sekiranya anda menegaskan bahawa maklumat oleh Ambiga Sreenevasan mengenai pertemuan Jack Ma dengan Lim Guan Eng dan Tony Pua adalah tidak tepat, maka saya bersedia menawarkan manfaat keraguan kepada anda," katanya. Raja Petra mendakwa pengasas Alibaba memberitahu Menteri Kewangan dan Ahli Parlimen Damansara bahawa China tidak lagi mempercayai Malaysia kerana kerajaan dikatakan tidak menghormati perjanjian. Alibaba kemudian menjawab dengan surat cease-and-desist bertarikh 28 Mac, mengatakan bahawa pertemuan antara ketiga-tiga mereka tidak berlaku dan Raja Petra telah menulis kenyataan palsu serta fitnah. Kenyataan itu yang ditandatangani oleh naib presiden Alibaba dan timbalan penasihat Albert Yiu juga berkata, artikel Raja Petra tersebut telah menyebabkan kerosakan material terhadap watak dan reputasi Alibaba serta Ma. - The Star