suria

Pembedahan lutut atau tak, isteri Tok Mat turun padang berkempen

Raja Salbiah (kanan) bersama Datuk V.S. Mogan (kiri) mengedarkan risalah kepada satu pasangan semasa berkempen dari rumah ke rumah. Foto LOW BOON TAT

RAJA Datin Seri Salbiah Tengku Nujumuddin akan berkempen untuk suaminya, calon Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan pada pilihan raya kecil (PRK) Rantau, meskipun menjalani pembedahan lutut pada tahun lalu.

Raja Salbiah berkata, beliau mahu memastikan suaminya itu kembali berkhidmat kepada rakyat untuk penggal keempat.

"Lima anak kami juga akan menyertai kami semasa tempoh berkempen. Kami akan pergi dari rumah ke rumah untuk meraih sokongan sebanyak yang boleh untuk Tok Mat," katanya ketika ditemui semasa berkempen di Rantau.

Anak-anak mereka iaitu Amri, 36, Amirah 32, Azrin, 31, Alia, 26 dan Aiza, 25, turut membantu.

Kesemuanya juga hadir menyokong Mohamad semasa penamaan calon pada Sabtu.

"Sejak menjadikan rutin berjalan setiap pagi, ia bukan menjadi masalah bagi saya untuk berjumpa rakyat di kawasan sebanyak mungkin.

"Saya mahu lakukannya supaya saya boleh memastikan kemenangan buat Tok Mat," katanya.

Raja Salbiah berkata, keluarganya juga berpindah semula ke Seremban dari Kuala Lumpur, bagi memastikan mereka dapat menghabiskan banyak masa di kawasan.

Keluarga itu berpindah ke Kuala Lumpur selepas Barisan Nasional tewas di Negeri Sembilan pada pilihan raya umum 9 Mei tahun lalu, menyebabkan Mohamad yang merupakan menteri besar ketika itu perlu mengosongkan kediaman rasminya.

Pasangan itu, kedua-duanya berusia 63 tahun mempunyai tiga cucu. - The Star



Raja Salbiah, Mohamad Hasan, PRK, Rantau

Artikel Lain