POLIS Perak tidak menerima sebarang laporan berkaitan ritual melampau bagi tujuan mencari peserta Gopeng Ultra Trail (GUT) 2019, Mohammad Ashraf Hassan atau lebih dikenali dengan panggilan Acap. Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid berkata setakat ini segala usaha mencari Acap yang hilang sejak 23 Mac lepas dilakukan secara normal. "Tiada ritual melampau dilakukan semuanya usaha normal contohnya panggil mak dia (Acap) sembahyang sunat untuk mendoakan...itu semua normal. ARTIKEL BERKAITAN: “Bawah terowong, dekat telco...” - Sukarelawan dedah isyarat 'handphone' Acap dikesan kali terakhir ARTIKEL BERKAITAN: Bunian itu jin tapi jangan terlalu obses, nanti syirik - Ustaz Zaharuddin "Semalam juga di Masjid Idris Shah II selepas solat Jumaat ada dilakukan solat hajat sebagai satu cara untuk kita mendoakan agar yang hilang dijumpai dalam keadaan selamat," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan pelepasan program Kembara Kapcai Sempena Hari Polis ke-212 di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Ipoh, Sabtu. Pada program Sabtu, kembara yang melibatkan perjalanan sejauh 45 kilometer dari Ipoh ke Tanah Hitam, Chemor itu disertai seramai 212 pegawai dan anggota polis IPD Ipoh. Dalam pada itu, ditanya mengenai penganjuran besar-besaran mencari Acap di Gopeng pada Sabtu, Razarudin sekali lagi mengingatkan ia perlu diketuai oleh pihak polis. "Pencarian ini mesti diketuai oleh pihak polis dan mesti mendengar nasihat daripada pihak berkuasa kerana kita tak nak pencari itu pula yang hilang dan menjadi isu lain," katanya. Mohammad Ashraf berasal dari Muar, Johor menyertai GUT 2019 bersama 485 peserta lelaki dan perempuan yang lain memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer 23 Mac lepas dan sepatutnya berakhir pada hari yang sama di lokasi sama. Kehilangan mangsa disedari kawannya, Mohd Farid Md Kamal, 32, apabila mendapati Mohammad Ashraf masih tidak sampai selepas selesai perlumbaan sebelum membuat laporan polis. - Bernama