suria

Anak kelar leher bapa sedang makan malam di dapur

Siasatan awal mendapati suspek mengalami masalah mental, sering mengalami gangguan halusinasi, dan dikatakan terdengar bisikan yang membuatkan dia berasa marah.

SEORANG lelaki yang dipercayai mengalami masalah mental bertindak mengelar leher bapanya dengan sebilah pisau sehingga cedera di kediaman mereka di Sungai Chenaam, Nibong Tebal Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Shafee Abdul Samad berkata kejadian itu berlaku kira-kira 9.20 malam sewaktu mangsa berumur 48 tahun itu sedang makan malam di dapur rumah mereka apabila anaknya yang berumur 22 tahun itu datang dengan sebilah pisau sepanjang 40 sentimeter dan mengelarnya.

"Kejadian disedari isteri mangsa berusia 45 tahun yang menemui suaminya dalam keadaan berlumuran darah dan membawanya ke Hospital Parit Buntar, Perak, di mana mangsa menerima 10 jahitan kerana kecederaan itu," katanya.

 

Beliau berkata mangsa seterusnya dipindahkan ke Hospital Taiping, Perak untuk pemerhatian lanjut sementara suspek ditahan pada hari yang sama telah direman empat hari untuk siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan, kerana menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman itu.

Shafee berkata siasatan awal mendapati suspek mengalami masalah mental, sering mengalami gangguan halusinasi, dan dikatakan terdengar bisikan yang membuatkan dia berasa marah, lalu mengambil sebilah pisau dan terus menyerang mangsa.

Katanya, lelaki yang merupakan anak kedua daripada lima beradik itu pernah menjalani pemeriksaan dan rawatan kemurungan di Hospital Bukit Mertajam pada September 2014, dan dibekalkan ubat penenang, tetapi tidak dibawa untuk rawatan lanjut kerana dikatakan tidak berlaku perubahan. - Bernama

masalah mental, kelar, nibong tebal

Artikel Berikut

Artikel Lain