suria

Pasangan suami isteri ditahan, tergamak bawa bayi untuk lepas gian

Gambar hiasan.

SEPASANG suami isteri sanggup membawa bayi perempuan mereka yang berusia 18 bulan ke sebuah rumah di Selinsing, Bagan Serai dekat Parit Buntar untuk melepaskan gian.

Wanita berumur 33 tahun dan suaminya, 48, tahun itu ditahan dalam Operasi Perdana Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kerian di sebuah rumah di Parit Haji Dolah yang dipercayai dijadikan 'port' untuk mengambil dadah pagi Rabu.

Ketua Operasi Shahrul Nizam Baharuddin berkata pasangan itu merupakan antara 14 yang ditahan dalam operasi dari pukul 6.00 pagi hingga 2.00 petang hasil risikan sejak seminggu lalu.

"Semasa serbuan dua suspek itu yang melarikan diri dalam sawah, namun berjaya ditahan anggota AADK selepas pergelutan," katanya dalam sidang media di pejabat AADK di Parit Buntar pada Rabu.

Katanya kesemua 14 yang ditahan itu terdiri daripada 11 lelaki serta tiga wanita masing-masing berumur 33 hingga 57 tahun dan mereka akan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Pindaan 1998).

"Kesemua mereka akan direman 14 hari di Pusat Tahanan Reman AADK di Batu Kurau," katanya.

Sementara itu, Shahrul Nizam berkata sejak Januari hingga April tahun ini seramai 80 orang penagih telah ditahan di daerah Kerian. - BERNAMA

dadah, bayi

Artikel Lain